26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Seluruh Negeri Sabah Kini Zon Merah – Masidi

Gambar – FMT

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, seluruh Sabah kini bertukar kepada zon merah selepas Nabawan yang menjadi daerah terakhir berada dalam zon jingga semalam, mencatat pertambahan lapan kes baharu, hari ini.

Katanya, ini menjadikan semua 27 daerah di negeri itu berada dalam zon sama buat kali pertama sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu.

“Hari ini semua 27 daerah di Sabah adalah zon merah,” katanya dalam kenyataan harian, hari ini.

Tawau sebelum ini menjadi daerah pertama diisytihar zon merah di negeri ini pada Mac tahun lalu, diikuti Kota Kinabalu sebulan kemudian sebelum disusuli daerah lain.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, jumlah kes harian bagi Sabah kekal tinggi walaupun terdapat sedikit penurunan di beberapa daerah termasuk di Kota Kinabalu dan Tuaran.

Katanya, Kota Kinabalu masih mencatat jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 310 kes diikuti Tawau (206), Penampang (127), Tuaran (91), Sipitang (70), Putatan (55), Sandakan (52), Beaufort (49), Kota Belud (48), Keningau (46), Papar )45) dan Telupid (36).

“Tongod adalah satu-satunya daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

“Di Kota Kinabalu, walaupun saringan kontak rapat menyumbang 61% daripada kes di daerah berkenaan, peratusan kes melalui saringan bergejala (sporadik) juga tinggi, iaitu sebanyak 32%.

“Peratusan dalam kategori saringan bergejala juga tinggi di Tuaran iaitu 32% dan di Penampang 25% manakala di Tawau pula, kategori kontak rapat menyumbang 142 atau 69% daripada jumlah baharu di daerah itu, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 62% daripada kes baharu, hari ini, adalah daripada kontak rapat selain kategori bergejala (24%) dan kluster sedia ada (7%).

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, sebanyak 842 daripada 1,247 kes baharu Covid-19 di Sabah, hari ini, adalah dalam kategori satu dan dua.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kes baharu juga, 11 kes adalah dalam kategori tiga, lima kes dalam kategori empat dan dua lagi kes dalam kategori lima.

“Sementara itu, 31% daripada kes yang dilaporkan hari ini masih lagi dalam siasatan untuk menentukan kategori jangkitan dan sakit mereka,” katanya. – FreeMalaysiaToday (FMT)

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN