28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Selesaikan segera isu pewartaan tanah persekutuan di Sabah: James

JAMES ketika mempengerusikan sesi taklimat dan perbincangan pada Selasa yang dihadiri Pesuruhjaya Tanah Persekutuan/ Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG) Sabah, Fazlinah (kiri), Setiausaha Tetap KPMKR, Maria (kanan) dan wakil dari JKNS .


KOTA KINABALU: Sebanyak 47 tapak tanah persekutuan di Sabah belum dipohon, manakala 120 tapak telah ada Permohonan Tanah, sementara 219 tapak mempunyai Hakmilik Berdaftar.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib menggesa kementerian dan jabatan berkenaan menyelesaikan segera isu pewartaan tanah persekutuan yang sudah tertangguh lama di negeri ini.


“Saya telah berjumpa dengan Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG) Sabah, Fazlina Binti Hj Abdul Rani di pejabat saya dan beberapa rombongan beliau serta saya juga memanggil pegawai-pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan masalah-masalah Tanah Persekutuan di negeri Sabah.


“Apabila beliau telah memberi taklimat kepada saya maka saya cukup puas hati. Untuk makluman, perkara ini sebenarnya berlanjutan sekian lama sebelum beliau menjadi Pengarah JKPTG di Sabah ini memangpun sudah banyak masalah.


“Apabila saya melihat rekod-rekod yang ditunjukkan, saya nampak memang banyak tanah-tanah yang masih belum diwarta atau diberikan geran daripada kementerian-kementerian,” kata beliau.


James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata, wujud beberapa proses yang menyulitkan serta membantutkan pewartaan dan pengeluaran geran ini.


“Salah satu masalah mereka ialah semua borang-borang tanah tersebut terpaksa dihantar ke kementerian di Persekutuan di Kuala Lumpur sebelum ditandatangani oleh Pengarah JKPTG di Sabah yang mewakili Suruhanjaya Tanah Persekutuan, diproses dan didaftarkan di daerah-daerah.


“Ini akan mengambil masa yang lama kerana proses yang melibatkan penghantaran ke kementerian di peringkat Persekutuan sebelum proses untuk pendaftaran dan seterusnya untuk proses pewartaan dan pengeluaran geran,” tegas beliau.


James menambah bahawa di Sabah sahaja, sebanyak 47 bangunan-bangunan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan yang belum pun dipohon dan diproses.


Manakala 120 adalah tanah-tanah yang masih berstatus (Permohonan Tanah) PT, dan tidak diketahui status PT ini akan kekal sampai bila boleh diwarta atau dikeluarkan geran.


“Ini telah memakan masa berpuluh-puluh tahun, justeru saya minta supaya KKM ataupun JKNS supaya melantik pegawai-pegawai yang berkaliber dan faham mengurus tanah di daerah-daerah ini.


“Sebenarnya saya juga simpati dengan pegawai Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang ditempatkan di Sabah kerana pertama sekali, beliau terpaksa mengurus semua tanah-tanah persekutuan di Sabah sedangkan bilangan pegawai-pegawainya pun tidak cukup.


“Kadang-kadang, pegawai-pegawai di pihak jabatan-jabatan tertentu, tidak tahu samada mereka ini ikut arahan ataupun tidak untuk memproses tanah-tanah dalam jabatan mereka. Inilah sebenarnya yang menjadi masalah,” ujar beliau.


Apa yang membimbangkan, kata James, perkara ini baru menyentuh peringkat Persekutuan, dan belum lagi di peringkat negeri, iaitu di Jabatan Tanah, dan ini amat menyulitkan.


“Oleh itu, saya selaku Exco Kesihatan Negeri Sabah, meminta kepada KKM atau JKNS supaya percepatkan proses pendaftaran tanah-tanah KKM/JKNS di Sabah.


“Ingat 47 belum pun dipohon setakat ini dan 120 baru berstatus PT dan ini amat membimbangkan. Kalau tiada wake-up call perkara ini sampai bila-bila tidak akan selesai.


“Kita minta supaya perkara ini diambil tindakan dengan segera untuk menyenangkan ataupun supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi seperti klinik-klinik kesihatan yang sebelum ini.


Sementara itu, beliau juga minta kepada kerajaan supaya menambah pegawai-pegawai untuk mengurus tanah-tanah persekutuan di Sabah kerana tanah-tanah persekutuan di Sabah begitu luas, jadi memerlukan pegawai yang ramai untuk mereka menjalankan tugas.


“Maklumlah negeri Sabah begitu besar dan mempunyai kawasan yang luas, justeru sudah pastilah memerlukan pekerja-pekerja yang ramai untuk mengurus tanah-tanah persekutuan,” jelas beliau lagi.


Turut hadir dalam perjumpaan itu, Penolong Pengarah JKPTG, Suriani Binti Abdul Rahman, Penolong Pegawai Tanah Kanan, Site Rohani Binti Hussin, Penolong Pegawai Tanah 2, Puti Sutria Binti Ariana, Penolong Pegawai Tanah 3, Syamsul Bahari Bin Mohd Nor dan Ketua Penolong Pengarah JKNS, Martini Binti Muhammad dan Jessica Johannes Solidau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN