KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1 mulai esok (29 Jun) dengan mengekalkan sebahagian besar Standard Operasi Prosedur (SOP) Negeri Sabah PKP 3.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya dine-in di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel; gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah- buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut.
Katanya, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal adalah dibenarkan.
Sementara itu, katanya aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, serta kilang berasaskan kayu dan perabot.
Perincian Standard Operasi Prosedur (SOP) Negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya dalam kenyataan media hari ini.