Datuk Abidin (3 dari kanan) ketika melakukan acara simbolik tradisi ‘monutu parai’
RANAU: Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Matupang yang diraikan di Dewan Kampung tersebut baru-baru ini mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur. Apabila saya melihat semua persediaan yang ada pada hari ini, di dalam dewan terutama sekali di atas pentas dan aturcara program yang telah disusun, seolah-olah saya berada di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang telah saya rasmikan baru-baru ini,” katanya.
“Ini menunjukkan kepada kita bahawa semua Ahli Jawatankusa Pelaksana diketuai JPKK, Wilson Lion telah berusaha sedaya upaya membuat persiapan daripada awal perancangan hingga kepada perasmian. Apabila kita tekun melakukan sesuatu, biasanya ia akan mendatangkan hasil yang lebih baik seperti yang kita nikmati pada hari ini. Kita sangat menghargainya,” katanya.
Makanan tradisi turut dihidang menggunakan bahan semulajadi
“Adalah mustahil objektif program sambutan kaamatan dapat dicapai tanpa komitmen yang tinggi dari AJK Pelaksana di samping mendapat sokongan dan kerjasama kukuh daripada semua penduduk kampung dan Inilah sebenarnya hikmah yang kita tidak sedari setiap kali menjelang program sebarang perayaan. Program ini telah menjadi wadah mempersatukan semua dari mula persediaan hinggalah kepada pertemuan kita pada hari ini,” katanya.
Datuk Abidin berkata Pesta Kaamatan merupakan sambutan tradisi tahunan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus bagi menghormati semangat padi. Pelbagai acara seperti pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi dan tarian tradisional akan diadakan antara lain bagi menyatukan rakyat negeri ini seterusnya memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Antara aktiviti menarik sepanjang Program Kaamatan Peringkat Kampung Matupang itu ialah pertandingan Sugandoi, Milokud kategori lelaki dan wanita, Masakan Tradisional dan Rakaman Tulun Tokou.
Keputusan pertandingan Sugandoi ialah Johan (Syilvia Jolus), Kedua (Jasni Lion) Ketiga (Siti Nurul Syafiqa) dan Keempat (Mohd Hafiz). Acara Milokud kategori lelaki, Johan (Neonel Linus), Kedua (Sblyister Julima), Ketiga (Tijok Dousip) dan Keempat (Idham Nazre). Kategori Wanita, Johan (Dannah@Dianah Siansim) dan Kedua (Subatty Ibang). Manakala bagi pertandingan Rakaman Tulun Tokou dimenangi oleh Subatty (Johan), Ira Linus (Kedua), Juminah Bitindo (Ketiga) dan Helen Pool (Keempat).
Turut hadir ialah Juis Konsuling (Setiausaha Bahagian STAR N38 Paginatan), Jipli Sigal (CDO), para KAN, Ketua Kampung, Pengerusi JPKK dan ketua PDM.