Para peserta Unduk Ngadau merakam gambar bersama sebahagian Jawatankuasa pelaksana program.
RANAU: Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kg.Tungou di sini, meriah dengan pelbagai acara Sukan Rakyat Sukaneka, Pertadingan Masakan Paling Disukai Masa Kini dan pertandingan Unduk Ngadau kategori Ibu-Ibu di kampung berkenaan.
Majlis tahunan itu telah diadakan di Dewan Marandawi Kg.Tungou, dirasmikan Ketua Penerangan PGRS Karanaan, Asmin Bin Nasir yang mewakili Menteri Kewangan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun.
Asmin dalam ucapanya menjelaskan, Pesta Kaamatan merupakan budaya turun-temurun suku kaum Dusun harus dipelihara dan dikekalkan agar tidak hilang ditelan zaman, berikutan kemunculan budaya kaum lain terutama budaya kuning dari negara barat.
“Sambutan Pesta Kaamatan juga memberi pendedahan kepada generasi muda agar
diwarisi generasi akan datang”, jelas Asmin sambil menambah semua acara yang bakal dirancang untuk dilaksanakan hendaklah yang positif.
“Apa yang lebih penting ialah peluang generasi muda untuk menghayati dan memelihara budaya kaum Dusun”, tambah Asmin.
Beliau memuji Jawatankuasa pelaksana program itu kerana berjaya menganjurkannya dengan pelbagai acara dan berjalan lancar serta teratur.
Turut hadir dan berucap ialah, Ketua Kampung Kg.Tungou, Muhinin Gisiu dan Pengerusi JPKK, Jumil Bin Rosli.
Selain acara Sukaneka dan Sukan Tradisi turut diadakan ialah, Masakan Tradisi dan Petandingan Paluan Gong yang menyaksikan keunggulan paluan mantap daripada kumpulan Ibu untuk muncul Juara disusuli kumpulan Belia Lelaki (Naib Johan) manakala kumpulan Bapa-Bapa menduduki tempat Ketiga.
Sementara itu lenggang-lenggok serta gayanya yang tersendiri serta meyakinkan, membawa tuah kepada Saisah Wali untuk muncul Johan Pertandingan Unduk Ngadau disusuli Maimunah Danting (Naib Johan) dan Misriah Wali menduduki tempat ketiga. Hadiah-hadiah berupa wang tunai dan hamper telah disampaikan Asmin, Muhinin dan Jumil disaksikan lebih 50 penduduk yang hadir.