Conelia
TAWAU: Sebanyak 24 pingat emas dipertandingkan dalam acara bola keranjang sempena Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 yang berlangsung secara rasmi hari ini.
Ketua Delegat Teknikal Sukan Bola Keranjang SAGA XI, Conelia Yeo berkata keseluruhannya sebanyak 72 pingat ditawarkan bagi acara tersebut.
“Bagi kategori lelaki, lapan daerah mengambil bahagian manakala tujuh daerah menyertai kategori wanita.
“Antara daerah yang bertanding ialah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau, Penampang, Sandakan dan Beaufort,” katanya kepada media ketika ditemui di Stadium Bola Keranjang Tawau Kg. Jawa, pada Ahad.
Menurut Conelia, pertandingan bola keranjang SAGA XI akan berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober.
Beliau turut berharap penganjuran acara itu dapat memantapkan lagi pembangunan sukan bola keranjang di Sabah melalui pendedahan teknologi dan peningkatan kemahiran pemain.
“Diharapkan lebih ramai pemain Sabah dapat mewakili negeri dan negara di peringkat antarabangsa serta menimba pengalaman untuk meningkatkan prestasi mereka,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata prestasi keseluruhan pemain pada hari pertama pertandingan berada pada tahap memuaskan walaupun terdapat beberapa kecederaan ringan.
“Walaupun ada pemain yang mengalami kecederaan dan pendarahan, semangat juang mereka kekal tinggi untuk terus beraksi dalam temasya ini,” ujarnya.
Daerah Kinabatangan dijangka menjadi antara pasukan tumpuan bagi kategori lelaki, manakala Kota Kinabalu bagi kategori wanita./Penerangan