KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dengan tegas mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.
Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif, malah jelas menunjukkan kegagalan memahami realiti sejarah, prinsip undang-undang antarabangsa serta kedaulatan Malaysia yang telah lama diiktiraf dunia.
Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia, yang terbentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kedudukan ini diperkukuh melalui kehendak rakyat Sabah sendiri yang secara sah dan demokratik memilih untuk bersama dalam Persekutuan Malaysia.
Maka, sebarang cubaan untuk mempertikaikan perkara ini adalah tidak relevan, tidak berasas dan wajib ditolak sepenuhnya.
Hakikatnya, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya. Sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan lapuk ini, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi, hanyalah retorik dangkal yang bermotifkan kepentingan politik sempit.
Lebih membimbangkan, kenyataan ini timbul ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global. Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat agenda tersembunyi untuk mengeksploitasi kekayaan sumber asli Sabah, termasuk minyak dan gas.
Tindakan sebegini bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar kedaulatan negara secara terbuka.
Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk tuntutan terhadap Sabah dalam apa jua cara, sama ada melalui tekanan politik mahupun diplomatik.
Kami turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah daripada sebarang ancaman luar.
Sehubungan itu, Wanita PGRS berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi.
Kami juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, agar terus bersatu hati dan berpendirian tegas dalam menolak sebarang cubaan pihak luar yang ingin mencabar kedaulatan negeri ini.
Sabah bukan untuk dipertikaikan. Sabah adalah milik Malaysia.



