Masiung (tengah) ketika mempengerusikan sesi libat urus tersebut
KOTA KINABALU: Rangkaian perniagaan Sedco Communication Sdn Bhd (S.COMM), anak syarikat kepada Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), perlu ditambah baik sejajar perkembangan pesat teknologi telekomunikasi negara.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi SEDCO, Masiung Banah, ketika sesi libat urus yang diadakan di pejabat S.COMM di sini, hari ini.
Menurut beliau, syarikat berkenaan mempunyai potensi besar untuk menceburi jaringan baharu perniagaan selari dengan evolusi teknologi digital yang semakin berkembang.
“Sebagai pemain industri tempatan, S.COMM wajar meneroka kemunculan teknologi digital baharu termasuk komunikasi satelit bagi memperluas rangkaian perniagaan domestik serta memperkukuh daya saing dalam pasaran,” katanya.
Sesi berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar Kumpulan Sedco, James Wong.
Taklimat turut disampaikan oleh Pengerusi S.COMM, Ruhaizul Ezan Rubin; Ketua Pegawai Eksekutif, Subha Sathiamoorthy; Pengurus Operasi, Azmih Junaidi; serta Pegawai Teknikal, Dugumaran Kularajasingam.
Beliau berkata, langkah proaktif dan inovatif amat penting bagi memastikan S.COMM terus relevan serta mampu bersaing dalam landskap industri telekomunikasi yang semakin kompetitif dan berteraskan teknologi tinggi.



