RUSDIN RIMAN
RANAU: Bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, mengumumkan lima teras utama pembangunan yang akan menjadi agenda beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah itu berkata, tumpuan pertama adalah memperkukuh pembangunan infrastruktur asas, khususnya membabitkan rangkaian jalan kampung demi kemudahan dan kesejahteraan penduduk tempatan.
“Saya melihat keperluan menaik taraf infrastruktur sebagai keutamaan bagi memastikan penduduk Paginatan menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, kelmarin.
Teras kedua, jelas beliau, memberi fokus kepada pendidikan kanak-kanak, manakala teras ketiga ialah penubuhan hab aktiviti kemahiran khusus untuk golongan belia di kawasan itu.
“Teras keempat pula memberi penekanan kepada pemerkasaan wanita, pembangunan ekonomi desa serta pengukuhan ekonomi Rahmah.
“Bagi teras kelima, saya akan memberi perhatian terhadap peningkatan tahap kesihatan, kesejahteraan rakyat dan pengurusan perkhidmatan wakil rakyat yang lebih cekap,” tambahnya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, mengumumkan Rusdin sebagai bakal calon parti itu bagi DUN Paginatan.
Ketika ini, kerusi berkenaan disandang Datuk Abidin Madingkir daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).



