Datuk Rusdin Riman
RANAU: Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) bagi kerusi DUN N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman, mengetengahkan manifesto beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, pemerkasaan belia, infrastruktur asas serta tadbir urus berintegriti.
Rusdin, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, berdepan pertandingan 10 penjuru termasuk penyandang kerusi Datuk Abidin Madingkir yang mempertahankan kerusi atas tiket GRS, serta Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat, yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN).
Dalam kenyataan beliau, Rusdin menekankan bahawa pembangunan modal insan menerusi pendidikan berkualiti akan menjadi keutamaan, dengan fokus kepada penyediaan akses pendidikan lebih baik untuk anak muda di Paginatan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan hab kemahiran bagi menyediakan latihan kepada belia setempat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, Rusdin turut menggariskan keperluan mendesak untuk memantapkan infrastruktur asas, khususnya penyelenggaraan jalan kampung, selain memastikan bekalan elektrik dan air bersih dapat disalurkan secara konsisten ke kawasan pedalaman.
Manifesto tersebut turut menumpukan usaha memperkemas tadbir urus perkhidmatan awam. Rusdin menegaskan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan yang telus, pantas dan mesra rakyat sekiranya diberikan mandat, sambil memastikan setiap aduan dan keperluan masyarakat diberi perhatian segera.
Dalam aspek ekonomi desa, beliau berikrar memperkasakan golongan wanita dan usahawan luar bandar melalui sokongan keusahawanan serta peluang perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat secara lebih adil dan inklusif.
Sementara itu, bidang kesihatan turut diberi perhatian melalui rancangan menaik taraf fasiliti seperti klinik serta mempermudah akses rawatan. Beliau turut merancang memperluas program-program kesihatan komuniti demi memastikan kesejahteraan semua lapisan penduduk Paginatan.
“Sudah masanya kita lakukan perubahan dan inilah waktunya untuk kita bergerak ke arah yang lebih baik
“Saya tidak mampu melakukannya seorang diri; saya perlukan sokongan rakyat Paginatan untuk bersama membangunkan kawasan ini. Kekuatan kita bukan pada seorang, tetapi pada semua,” katanya.
PRN Sabah dijangka menyaksikan persaingan sengit di Paginatan dengan jumlah calon yang ramai dan pelbagai gabungan politik menawarkan agenda masing-masing kepada pengundi.



