ADVERTISEMENTspot_img

Rumah Terbuka Aidilfitri Ceriakan Anak Yatim dan Asnaf di Kampung Silad

KENANGAN — Para jemputan merakam gambar kenangan bersama Penjaga Pusat Jagaan Rumah Anak Yatim (RAY) dan Asnaf Kampung Silad, Ustaz Hainin Abdullah (tengah), sempena Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di pusat jagaan tersebut di Ranau.

Oleh:Salwah Aramat

RANAU: Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Pusat Jagaan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad di sini berlangsung meriah dalam suasana penuh kekeluargaan, sekali gus menceriakan penghuni pusat berkenaan sempena Syawal.

Majlis berkenaan menjadi platform meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf dalam suasana ceria, di samping menyemarakkan nilai kebersamaan dan keprihatinan masyarakat setempat.

Penjaga pusat berkenaan, Ustaz Hainin Abdullah, ketika ditemui berkata pihaknya amat menghargai kehadiran para tetamu yang telah menyerikan sambutan tersebut.

“Keprihatinan yang ditunjukkan ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada anak-anak, malah turut memberi semangat dan motivasi kepada mereka,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Pejabat Parlimen Ranau, Benedict Gunda yang mewakili Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan di kawasan berkenaan.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat yang meluangkan masa bersama penghuni pusat serta tetamu lain, mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyantuni golongan memerlukan.

Selain itu, beberapa kakitangan Pejabat Parlimen Ranau turut hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

Pelbagai juadah tradisi Hari Raya disajikan kepada para tetamu dan penghuni, sekali gus menambahkan kemeriahan majlis yang disulami gelak tawa serta keceriaan anak-anak yatim yang diraikan.

Walaupun tanpa ucapan rasmi, kehadiran pemimpin dan tetamu jemputan sudah cukup memberi makna besar kepada penghuni pusat berkenaan, sekali gus membuktikan mereka sentiasa diberi perhatian.

Sambutan itu bukan sahaja menceriakan penghuni pusat jagaan, malah turut memperkukuh nilai kasih sayang, kebersamaan dan semangat prihatin dalam kalangan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN