TINJAU…. Bashir (kiri) bersama Rithuan ketika meninjau lokasi kebakaran rumah kongsi di Kampung Batu Arang tengah hari tadi.
LABUAN : 48 keluarga dipercayai pekerja binaan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kongsi yang dijadikan tempat kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Arang berhampiran stesen minyak Shell, di sini pagi ini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Ardilah Supardi, kebakaran sekitar jam 11 itu telah memusnahkan 100 peratus 17 buah pintu rumah kongsi, 2 buah rumah separuh kekal terbakar 80 peratus dan sebuah rumah lain yang berdekatan dengan tempat kejadian turut mengalami kerosakan di bahagian pintu.
Beliau berkata, seramai 30 anggota yang membabitkan Balai Bomba Kampung Jawa, Layangan dan Rancha-Rancha telah membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan rumah lain.
Ardillah yang mengetuai operasi pemadaman berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11. 08 minit pagi dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa 25 minit.
“ Dalam kejadian itu seorang wanita melecur 10 peratus di bahagian muka ketika cuba masuk semula ke dalam rumah dan mangsa telahpun dihantar kehospital untuk mendapatkan rawatan. Keadaan mangsa dilaporkan stabil,”katanya.
ARDILLAH memberikan maklumat kebakaran kepada Bashir (kanan) dan Rithuan (tengah) selepas meninjau lokasi kebakaran
Beliau berkata demikian kepada Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashis Alias yang meninjau tempat kejadian tengah hari tadi.
Turut sama, Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD), Rithuan Ismail dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Gani Yunus.
Sementara itu, Rithuan ketika ditemui mengesahkan seramai 48 keluarga telah kehilangan tempat tinggal.
“Bagaimanapun daripada jumlah itu seramai 4 keluarga telah ditempatkan di pusat penempatan sementara (PSS) Sekolah Menangah Agama Islam Lubok Temiang, manakala yang lain memilih untuk menumpang di rumah rakan-rakan tidak jauh dari tempat kejadian”,katanya.
Beliau berkata, mereka yang ditempatkan di pusat penempatan sementara itu terlebih dahulu menjalani saringan COVID 19 yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri sebelum mereka dibenarkan tinggal di pusat itu.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjsama dalam membantu mangsa yangterlibat dalam kebakaran tersebut.