28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

RMK13: KUSKOP Terajui Penskalaan PMKS dan Pemerkasaan Sektor Ketiga – Ewon Benedick

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memainkan peranan utama dalam memacu penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperkasa sektor ketiga selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menampilkan kerangka pembangunan negara yang lebih inklusif, mampan dan bertanggungjawab di bawah konsep Malaysia MADANI.

“Fokus KUSKOP dalam RMK13 adalah memperkukuh model perniagaan PMKS, menambah baik ekosistem keusahawanan serta memperkasa sektor ketiga melalui peningkatan daya tahan, keterlihatan dan penyertaan dalam perniagaan inklusif,” katanya dalam kenyataan media hari ini

Tonggak pembangunan ini akan disokong oleh pelbagai dasar dan pelan strategik seperti Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Francais Negara, Dasar Koperasi Malaysia, Pelan Strategik PMKS 2030, serta Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 yang akan terus ditambah baik.

Menurut Ewon, kejayaan pelaksanaan ini juga akan bergantung kepada reformasi perkhidmatan awam termasuk pelaksanaan ILTIZAM, pemerkasaan teknologi kerajaan (GovTech), penambahbaikan tadbir urus serta pengukuhan ekosistem ekonomi sosial.

“KUSKOP akan menerajui pembangunan sektor keusahawanan, koperasi dan ekonomi sosial negara menerusi pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ (whole-of-government) melalui kerjasama rentas kementerian, agensi negeri dan para pemegang taruh,” tambah beliau.

Sebagai wakil Kabinet dari Sabah, Ewon turut menyambut baik komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur, khususnya melalui pembangunan sosio-ekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

Beliau turut mengalu-alukan pengiktirafan terhadap potensi ekonomi biru di Sabah dalam RMK13, yang disifatkannya mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi wilayah timur negara.

“Saya percaya RMK13 akan membawa Malaysia ke era yang lebih progresif dan inklusif, selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya sambil menyatakan kebanggaannya terhadap kejayaan Kerajaan MADANI menyelesaikan sembilan daripada 13 tuntutan MA63 setakat ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN