Madius
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM39 juta peruntukan telah diluluskan untuk fasa 2 Projek Jalan Mantob-Gonipis-Tobobon Tuaran di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan Keempat (RMKe-11 RP4) tahun 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Dato’ Henry Sum Agong berkata, ia melibatkan pembinaan jalan sepanjang enam kilometer dengan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) R1.
“Status terkini adalah di peringkat penentuan skop dan kerja awalan. Kementerian sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya bagi pembangunan masyarakat luar bandar khususnya di negeri Sabah dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang selamat dan selesa,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Dalam soalannya Madius meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan bilakah kementerian akan menaik taraf melalui peruntukan Peruntukan Dan Belanja Jalan Luar Bandar (JALB) bagi Jalan Sinulihan, Jalan Wasai, Jalan Kitapol, Jalan Giuk, Jalan Gonipis, Jalan Poturidong, Jalan Mongkonihab, Jalan Rungus Nahaba, Jalan Togop dan Jalan Tiong Monggis di kawasan Parlimen Tuaran.
Henry berkata, bagi cadangan jalan Tudan-Poring-Tebobon, Tuaran, Sabah, Jalan Tomis Tiong Lokus – Kotunuan Lama – Wasai, Tuaran fasa 2 dan Jalan Bukit Fasal, Tuaran, kementerian telah mengangkat permohonan projek tersebut bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Walau bagaimanapun, kelulusan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE-JPM) dan kedudukan semasa kewangan kerajaan,” jelasnya.
Dalam soalan tambahan Madius turut bertanya kepada Henry jika sedar dan tahu bahawa jalan raya di luar bandar tidak diberi keutamaan berbanding lebuh raya bertingkat di bandar-bandar besar.
“Adakah Yang Berhormat sedar dan tahu bahawa di Malaya ini terdapat lebih 32 lebuh raya bertingkat sehinggakan rakyat tidak tahu apakah singkatan nama-nama lebuh raya tersebut seperti MEX, DUKE, SPRINT, LATAR, PLUS, KESAS, LEKAS dan pelbagai lagi.
“Akan tetapi di negeri Sabah, rakyat terpaksa berhadapan dengan kemudahan yang begitu teruk. Setiap kali hujan sahaja, ada sahaja tanah runtuh dan kerajaan negeri terpaksa berbelanja untuk membuka tanah runtuh tersebut.
“Persoalan saya tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah apakah sebenarnya langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar khususnya untuk memastikan supaya pihak kerajaan akan dapat memperuntukkan untuk menaik taraf jalan-jalan raya ini daripada jalan merah kepada di-asphalt, naik taraf.
“Ini kerana ia punya kadar peruntukan hanyalah lebih kurang RM2 juta untuk satu kilometer, bukan pun banyak sangat. Akan tetapi tidak diberi keutamaan. Jalan yang diberi keutamaan adalah lebuh raya bertingkat.
“Jadi ini persoalan saya fikir Yang Berhormat juga dari luar bandar, dari Lawas juga tahu dan sedar ini bahawa peruntukan untuk luar bandar tidak diberi keutamaan selama ini,” katanya
Menjawab soalan tambahan itu, Henry mengakui sebagai wakil rakyat dari kawasan luar bandar, beliau sangat maklum tentang keperluan-keperluan di luar bandar.
“Bagi tahun hadapan, kita mempunyai peruntukan di bawah bajet yang agak besar dan saya menyarankan agar mana-mana cadangan jajaran jalan yang belum tersenarai di dalam RMKe-12 khususnya, sila kemukakan keperluan tersebut kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai senarai keutamaan dan pihak kementerian akan meminta JKR membuat semakan kos sebelum diangkat kepada pihak UPE, JPM bagi kelulusan pelaksanaan,” ujar beliau.