24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Jun 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

RM107.43 juta diperuntukkan bagi pembinaan kompleks OKU, warga tua: KM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM107.43 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, pada tahun ini, antara lain bagi meneruskan projek pembinaan kompleks yang diperlukan golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga tua.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ia membabitkan pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan warga tua serta pembinaan bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan; dan Kompleks Latihan OKU di Daerah Sandakan.

“Di samping itu, bagi meneruskan pemberian bantuan kepada golongan rentan khususnya OKU, warga tua, anak yatim dan Ibu tunggal serta bantuan am di seluruh negeri ini, Kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM76.29 juta pada tahun ini dengan seramai 24,781 orang akan menikmati manfaat di bawah bantuan ini,” katanya ketika merasmikan Penutupan Program `Sentuhan Kasih Untaian Budi’ di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, Sembulan, di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukannya di negeri ini.

Katanya, usaha mahasiswa Pendidikan Lanjutan Universiti Utara Malaysia Kampus Kota Kinabalu yang bekerjasama dengan pelbagai pihak lain untuk mengadakan program “Sentuhan Kasih, Untaian Budi” di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, Sembulan, amat dihargai.

“Sesungguhnya, menyantuni dan membantu masyarakat khususnya mereka yang memerlukan bantuan, amat dekat dihati saya. Sebab itu, saya amat gembira dengan pelaksanaan program ini yang mana ia melibatkan universiti dari luar negeri Sabah.

“Ini sejajar dengan komitmen tidak berbelah bagi Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu pelbagai pihak, bukan sahaja golongan pelajar malahan golongan kurang upaya. Saya dimaklumkan selain menyantuni anak-anak di Taman Didikan Kanak- Kanak Kurang Upaya, Sembulan ini, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuklah aktiviti gotong royong, ceramah dan juga menyampaikan sumbangan bantuan.

“Usaha seperti ini amat baik dan saya berharap lebih banyak lagi pihak lain termasuk pelajar dari universiti akan melaksanakan program khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau turut berharap penganjuran program ini dapat menyuntik semangat mahasiswa untuk terus mengadakan program bermanfaat seperti ini pada masa akan datang.

“Program seperti ini bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat malah program berbentuk khidmat komuniti ini dapat memupuk dan membentuk sahsiah pelajar.

“Penerapan nilai-nilai seperti pengurusan, pentadbiran dan pengatur caraan di dalam program akan memperkasakan lagi kebolehan mahasiswa dalam mendepani situasi sebenar alam pekerjaan,” katanya. –Warta Oriental

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN