26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 3, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RENUNGAN SOSIOLOGI DAN EKOLOGI : “SARAWAK DAN BIAWAK” SEBAGAI KIASAN HARMONI MASYARAKAT

Gambar hiasan



SATU nukilan oleh Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) mencuri perhatian apabila beliau menggunakan perbandingan antara “Sarawak” dan “biawak” sebagai kiasan untuk menggambarkan dua sifat berbeza dalam konteks sosial dan ekologi.

Menurut beliau, perbezaan tersebut bukanlah bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi ruang renungan bersama mengenai nilai kompromi, sikap bertolak ansur dan kemampuan manusia memahami peranan masing-masing dalam sebuah komuniti.

Dalam huraian beliau, Sarawak digambarkan sebagai cerminan masyarakat yang memahami batas dan ruang. Kiasan “meja makan utama” digunakan bagi menggambarkan keterbatasan kuasa dan posisi, yang memerlukan kebijaksanaan ketua keluarga untuk menentukan susunan dan keseimbangan. Masyarakat yang matang, katanya, menerima keputusan tersebut demi keharmonian. Sikap memahami tempat sendiri dan mengutamakan kestabilan itu disifatkan sebagai “fitrah insani seorang manusia misali”.

Dalam masa sama, beliau menampilkan watak “biawak” sebagai simbol kepada sifat yang bertentangan. Melalui analogi ekologi, biawak digambarkan tidak memahami simbiosis meskipun berkongsi habitat yang sama. Ia tidak mengenal konsep memberi dan menerima, sebaliknya hanya bersaing sesama sendiri demi mengisi tembolok masing-masing. Persaingan tanpa batas itu membuka ruang kepada pencerobohan luar, diibaratkan sebagai ular yang mudah menyelinap masuk ke dalam ekosistem mereka. Tingkah sedemikian disifatkan sebagai “nafsu semulajadi seekor reptilia sejati”.

Dr. Ramzah menegaskan nukilan tersebut hanyalah suatu refleksi moral berdasarkan pembelajaran sosiologi dan ekologi semasa beliau menuntut di universiti. Beliau menolak sebarang tafsiran politik terhadap tulisannya dan menyatakan bahawa ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau kelompok.

Melalui kiasan yang santai tetapi tajam itu, beliau mengajak masyarakat melihat semula nilai diri dan memupuk sikap yang membawa kepada keharmonian, bukan perebutan yang meruntuhkan. Entri tersebut turut disertai tanda pagar “RemBebel”, sebagai isyarat bahawa ia sekadar celahan renungan peribadi yang mengandungi mesej tersirat buat semua.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN