30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Rawatan gigi, gunting rambut percuma untuk penduduk di Kundasang

Dr. Jaochim menyantuni murid SK Mesilou yang hadir mendapatkan rawatan gigi, sambil diiringi oleh PJ Tan (tiga dari kiri).

KUNDASANG, 5 September 2022: Seramai 66 orang penduduk kampung yang terdiri daripada ibu bapa dan murid sekolah telah menerima rawatan pergigian percuma dalam satu program yang diadakan selama dua hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou dan Rumah Kanak-Kanak Don Bosco, Bundu Tuhan di sini, yang berakhir kelmarin (4 Sept).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyambut baik usaha yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Amal Pendidikan Akhlak Che Sui Khor dan Ji Her Kota Kinabalu, Lions Club Kota Kinabalu, serta Klinik Pergigian Dental Hope Sdn Bhd.

Rawatan pergigian itu dikendalikan oleh Dr. Sonia dan Dr. Keneath dari klinik pergigian tersebut.

Dalam program yang sama, Pertubuhan Pendidikan Akhlak Che Sui Khor dan Ji Her Kota Kinabalu juga telah menyumbangkan sejumlah 100 bakul makanan dan minuman kepada penduduk Kampung Mesilou, dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan juga pentadbir Rumah Kanak-Kanak Don Bosco.

Pada masa yang sama, Lions Club juga telah memberikan perkhidmatan menggunting rambut percuma yang disertai oleh 20 orang penduduk.

Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan program itu seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, doktor-doktor pergigian dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Daerah Ranau, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) cawangan Ranau, Guru Besar SK Mesilou serta Paderi Rumah Kanak-Kanak Don Bosco.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian itu juga meminta agar para penduduk terus mengekalkan keindahan kampung dengan memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih dan teratur.

“SK Mesilou diiktiraf sebagai satu hab pelancongan, dan ini merupakan satu kebanggaan kepada semua penduduk. Oleh itu, kita perlu mengekalkan dan menaik taraf keindahan serta kebersihan kampung.

“Aktiviti gotong royong perlu diadakan dari masa ke semasa untuk meningkatkan keceriaan kampung,” katanya.

“Kita juga akan membantu Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) SK Mesilou membangunkan institusi pendidikan ini,” kata Dr. Joachim.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Akhlak Che Sui Khor dan Ji Her Kota Kinabalu, PJ Tan berkata, program tanggungjawab korporat sosial (CSR) seperti ini sudah dilaksanakan bukan sahaja di Ranau malah seluruh daerah di seluruh Negeri Sabah, sebelum pandemik Covid-19 melanda.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN