Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota dan pegawai polis, pada Mac dan April lepas.
Sharif Ud Din, 39, dan Mujahid Ali Aman Ullah, 41, kedua-duanya peniaga kedai runcit membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Sharif berdepan dua pertuduhan iaitu memberi rasuah RM500 masing-masing kepada seorang anggota dan pegawai polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan memiliki sejumlah rokok tanpa cukai pelbagai jenis.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Shahid Enterprise, di sini pada 12.30 tengah hari 23 Mac dan 10.30 pagi 22 April lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mujahid Ali pula didakwa dua pertuduhan bersubahat dengan Sharif untuk melakukan perbuatan itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 28(1)© Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Terdahulu, Peguam Erveana Ansari yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mempertimbang jaminan terhadap anak guamnya memandangkan mereka sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai anak, selain tidak pernah gagal melapor diri di pejabat SPRM sepanjang siasatan.
Abu Bakar membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM7,000 dan isteri sebagai penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan. -NST