Rancangan tidak serupa bikin, Madius persoal pelaksanaan dasar dan program anti-perpaduan RMK terdahulu

Rancangan tidak serupa bikin, Madius persoal pelaksanaan dasar dan program anti-perpaduan RMK terdahulu

01/10/2021 Off By LEO KENZO

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2021 – Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – TUARAN) mempersoalkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-1 (RMK1) hingga RMK11 disifatkannya sebagai anti-perpaduan.

Menurutnya, sejak RMK1 sehingga ke RMK12, perenggan pertama dalam mukadimah dokumen Rancangan-rancangan Malaysia tersebut telah meletakkan “Perpaduan” sebagai objektif utama dan penting.

“Namun setelah 11 Rancangan Malaysia dilaksanakan, perpaduan masyarakat serta perpaduan nasional di Malaysia bukan pula bertambah baik sebaliknya bertambah buruk.

“Kalau dulu tidak kedengaran suara-suara seperti Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), hari sudah ada parti politik yang menjadikan agenda keluar Malaysia sebagai agenda perjuangan mereka.

“Kenapa semua ini berlaku? Apa sudah yang terjadi setelah 58 tahun pembentukan Malaysia dan setelah 11 RMK dilaksanakan?”

Madius berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan RMK12 di Persidangan Dewan Rakyat disini, semalam.

Ujarnya, kesemua Rancangan Malaysia tersebut tertulis dengan cantik diatas kertas.

“Tetapi apabila sampai proses pelaksanaannya tiba-tiba dibangkitkan dasar-dasar dan program anti perpaduan dan anti inklusiviti seperti Pekeliling 1982 yang menghalang kaum tertentu daripada menggunakan beberapa kalimah ataupun perkataan.

“Tiba-tiba Program “Digital MARA” ekoran daripada insiden “Low Yat” dilaksanakan; dan sekarang Dasar 51% Bumiputera dalam sektor logistik dan penghantaran juga mau dìlaksanakan.

“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri apakah Dasar 51% yang dicadangkan itu terkandung dalam RMK11? Pada Tuaran jawabannya tidak ada? Justeru kenapa tiba-tiba dibangkitkan sekarang? Apakah ini disebabkan adanya agenda politik!

“Apakah sengaja mau bangkitkan sentimen kaum? Bukankah ini anti perpaduan? Bukankah ini anti Inklusiviti? Apakah Dasar ini membantu mencapai objektif RMK12? Tuaran Minta jawapan daripada Menteri Unit Perancang Ekonomi (EPU), Menteri Kewangan dan Menteri Perpaduan Negara dalam perkara ini,” tegasnya.