OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Statistik terkini menunjukan daerah ini kekal dalam zon kuning kes pandemik Covid-19 dengan hanya dua orang positif yang direkodkan sehingga kemarin 8 April 2020.
Pegawai Daerah Ranau, Yassin Ibrahim (gambar) ketika mengesahkannya kepada media hari ini berkata, tiada kes baru positif direkodkan.
“Dalam situasi terkawal di daerah Ranau ketika ini dengan tiada kes baru dilaporkan, kita boleh kembali kepada zon hijau dalam masa terdekat.
“Namun, untuk kembali kepada statstik zon hijau, ia bergantung kepada sikap orang ramai khususnya masyarakat di sini dalam mematahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Putuskan rantaian wabak dengan mengawal pergerakan, duduk diam-diam di rumah selain mengamalkan kebersihan diri, keluarga dan persekitaran,” ujarnya.
Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau turut menyeru kepada pemimpin di peringkat kampung khususnya Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK agar sentiasa melakukan pemantauan dalam kampung dari masa ke semasa.
“Penting bagi pemimpin peringkat akar umbi untuk memantau pergerakan penduduk di bawah jagaannya selain kehadiran orang luar ke kampung mereka,” sarannya.
Beliau juga menyarankan, bagi mana-mana individu yang balik ke kampung dari luar daerah agar menjalani saringan dan kuarantin diri sendiri.
Sementara itu, ketika ditanya status dua orang yang didapati positif Covid-19 di sini sebelum ini, Yassin menjelaskan, kedua-dua pesakit telahpun menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
“Menurut pihak hospital, dua orang itu telahpun sembuh, namun mereka terpaksa menjalani proses lanjutan kuarantin selama 14 hari untuk memastikan mereka benar-benar bebas Covid-19,” jelasnya. –TAMAT–