Madius melancarkan UPKO Cawangan Baru Pinagayo.
TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kawasan Tamparuli diperkukuhkan lagi dengan penubuhan sebuah cawangan baru di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rongolis.
Pelancaran cawangan itu iaitu UPKO Cawangan Pinagayo disempurnakan Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, di sini, kelmarin.
Hadir sama Timbalan Ketua UPKO Bahagian Tuaran, Joisin Romut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jeffrey Teo, ketua PDM UPKO Rongolis, Johnny Upin dan Ketua Cawangan Pinagayo, Andy Solikup.
Dalam ucapannya Madius merakamkan tahniah kepada Andy dan Johnny yang telah bertungkus lumus bagi memastikan tertubuhnya cawangan baru UPKO di Kampung Pinagayo.
Ujarnya, ini menunjukkan UPKO sentiasa berada dalam landasan yang tepat untuk terus bersama rakyat dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah rakyat.
“Hari ini (kelmarin) kita telah berjaya melebarkan lagi sayap di kawasan PDM Rongolis Tamparuli sekali gus mengukuhkan lagi persiapan UPKO dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.
“Perjuangan kita konsisten, malah selepas dijenamakan baru-baru ini kita telah menjadi parti inklusif iaitu perjuangan lebih meluas merangkumi kepelbagaian etnik yang ada di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Johnny ketika ditemui melahirkan rasa keterujaan terhadap semangat yang ditunjukkan rakyat di PDM Rongolis.
“Saya percaya semangat ini adalah kesinambungan daripada hasil usaha-usaha Datuk Seri Madius dalam menyelesaikan isu-isu rakyat di PDM saya sebelum ini.
“Untuk makluman, di PDM Rongolis, datuk seri telah berjaya menyelesaikan masalah jalan raya, masalah bekalan air dan beberapa lagi masalah lain,” katanya.
Bagi Andy pula, beliau memaklumkan UPKO merupakan sebuah parti yang berprinsip dan fokus dalam mempertahankan mandat rakyat.
“Inilah yang kita perlu pertahankan, dan inilah juga yang membawa saya bersama-sama penduduk yang lain sebulat suara untuk menubuhkan cawangan baru di Pinagayo,” ujarnya.
Pada acara tersebut, Madius turut menerima 20 borang kemasukan ahli baharu ke dalam UPKO.