30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Sabah wajar bersyukur: Jahid Jahim

GURU Besar SK Bawang, Norjaip Hj Daip, (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Jahid (dua kiri).

TAMPARULI: Rakyat Sabah wajar bersyukur kerana negeri ini mempunyai pelbagai budaya, agama, fahaman, bangsa dan suku kaum namun dapat mengamalkan semangat toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, uniknya di negeri Sabah, semua kaum turut serta merayakan serta menjayakan sambutan pelbagai perayaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

“Kita dapat duduk semeja dan saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Borneo Kaamatan Gawai Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tamparuli, dekat sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Sulit Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, William Ugau, Guru Besar SK Bawang Tamparuli, Norjaip Hj Daip, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Bawang Tamparuli, Nuratiqa Gitom, dan Penolong Kanan 1 SK Bawang, Georgina Sipin.

Katanya, hal yang sama ditunjukkan di sekolah ini, yang mempunyai pelbagai latar belakang murid namun dapat menuntut ilmu dalam satu bumbung yang sama demi menjamin masa depan yang lebih cemerlang khasnya dalan bidang akademik.

“Justeru, murid-murid sekolah perlu mengekalkan serta memelihara perpaduan sedia ada bagi menjamin kebahagian, kesejahteraan dan kemakmuran antara semua agama, bangsa dan suku kaum”.

Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, menambah, pengiktirafan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan terhadap Bahasa kadazandusun sehingga menjadi salah satu mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah rendah seluruh Sabah, dihargai.

“Ini menunjukkan Bahasa Kadazandusun bukanlah asing untuk murid-murid,” tambah Jahid, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA).

Tambahnya, merujuk tema sambutan Kaamatan pada tahun ini iaitu “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan, mempunyai pelbagai simbolik dan tafsiran.

“Namun harus diingat bahawa pesta ini disambut bagi merasakan kesyukuran atas kurniaan Maha Kuasa dalam memberikan kesejahteraan hidup melalui hasil ekonomi yang memuaskan.

“Melalui semangat rajin dan tekun berusaha melalui berbudi pada tanah maka pasti hasilnya kelak akan dapat dituai sejajar dengan usaha yang dicurahkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Jahid turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di SK Bawang.

“Sesuai dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”, jika dirujuk tema ini amat bermakna, khususnya kepada warga guru memandangkan era masa kini menuntut warga guru untuk sentiasa peka terhadap perkembangan semasa iaitu era digital,” katanya.

Terdahulu, Penolong Kanan 1 SK Bawang, Georgina Sipin, berkata, program itu bertujuan memupuk perasaan perpaduan ikhtisas, muhibbah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah tersebut.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama sekolah dan PIBG SK Bawang, bersama seramai 142 orang murid sekolah berkenaan.

Antara acara yang dijalankan ialah Pertandingan Pakaian Tradisional Borneo, Sukan Tradisional, Pameran Kaamatan, Pertandingan Mewarna Linangkit, Sugandoi, Manangon Bahasa Kadazandusun dan persembahan pentas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN