GAMBAR- Kong Soon Choi yang juga Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah
RANAU:Rakyat di Negeri Sabah komited ingin melihat kestabilan politik terus berkekalan di negeri ini bagi menjana ekonomi keluarga dan menikmati suasana hidup tanpa tekanan akibat terlalu banyak berhadapan dengan polemik politik.
Menjelaskan perkara itu, Kong Soon Choi yang juga Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah berkata, kenyataan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang menyatakan Umno Sabah akan terus kekal bersama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan pemimpin politik negeri Sabah serius untuk mempastikan kestabilan politik demi menaikkan ekonomi rakyat dan negeri.
“Rakyat Sabah sudahpun menghadapi Pilihanraya Umum Negeri Sabah Ke-16 baru-baru ini. Ia suatu sistem demokrasi yang mana beberapa calon-calon parti politik mengambil bahagian dan telah dipilih oleh rakyat. Melalui itu, terbentuklah kerajaan GRS yang ada ketika ini. Harapan rakyat agar selepas PRN Sabah, maka gerak kerja untuk memajukan kawasan dan negeri adalah keutamaan dan bukan mewujudkan isu politik baru yang memberi tekanan kepada rakyat”, jelas Kong ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Dalam pada itu, Kong juga menegaskan tumpuan utama ketika ini adalah pemutusan rantaian penularan Covid-19 dan proses pemvaksinan kepada seluruh rakyat Sabah amnya dan Malaysia khasnya.
Justeru, semua pihak perlulah berkerjasama demi mempastikan visi dan misi ini dapat dijayakan secara tuntas. Kekecohan untuk mengeluarkan agenda politik hanya akan membantutkan usaha itu termasuk mewujudkan suasana kurang selesa kepada rakyat.
Sehubungan itu, Kong turut bersedia bersama-sama barisan Pemuda Star Sabah bergerak seiringan dengan pihak berwajib dalam semua program vaksinisasi kepada rakyat dimana juga kawasan.