30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Sabah berharap Kerajaan Persekutuan laksana, tunaikan pemberian 40 peratus: Victor

Victor (tengah) diiringi AJK penganjur menyaksikan pameran makanan tradisi.

TAMBUNAN: Rakyat Sabah berharap Kerajaan Persekutuan yang kini terajui oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksana dan menunaikan pemberian 40 peratus daripada hasil keseluruhan yang dikutip daripada negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dato’ Victor P. Paut berkata, sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan menunaikan janji ini kerana ianya bukan perkara yang baharu.

“Sebenarnya semua rakyat Sabah sudah tertunggu-tunggu, sudah lama kita tunggu dan kita berharap apa yang dijanjikan itu dikotakan” katanya.

Kalau boleh tegasnya, segerakan sebab apa yang dijanjikan dalam MA63 itu 40 peratus daripada hasil yang dikutip daripada negeri Sabah haruslah dikembalikan kepada Sabah.

“Kita telah menanti selama 60 tahun dan kita berharap Perdana Menteri dapat merealisasikan janji-janji itu untuk kepentingan rakyat Sabah” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Tondulu dekat sini pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan untuk menyelesaikan segera mana-mana perkara disepakati antara kerajaan persekutuan dan Sabah, seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang pada hari yang sama.

Anwar berkata kerajaan persekutuan pimpinannya tidak ada masalah sama sekali untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam MA63, sebaik sahaja kerajaan Sabah bersedia dalam semua perkara berkaitan seperti penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Dalam pada itu Victor berharap isu 40 peratus ini perlu ditunaikan segera kerana sudah begitu lama ia dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah.

“Jangan ditangguh-tangguhkan lagi, sebenarnya ia tidak perlu dibincangkan atau dikaji lagi kerana ia sudah termeterai dalam MA63” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Victor berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun merupakan, budaya yang diwarisi sejak dahulu lagi dan bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas tuaian yang baik.

Selain itu katanya, ia juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturrahim.

“Kita amat bertuah kerana dikurniakan budaya dan seni tradisi yang kaya, justeru itu adalah menjadi harapan saya Pesta Kaamatan kali ini dapat memperkukuhkan dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Sabah umumnya dan masyarakat Kampung Tondulu khususnya ” jelas Victor.

Pada masa sama beliau menyeru seluruh penduduk Kampung Tondulu untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk seluruh penduduk kampung dan generasi akan datang.

Victor juga memuji usaha yang ditunjukkan pihak penganjur yang begitu menyerlah hasil kesungguhan dan komitmen Ahli Jawatankuasanya.

Sambutan Pesta Kaamatan peringkat kampung itu bukan sahaja diserikan dengan persembahan kebudayaan dan acara hiburan artis-artis tempatan tetapi ia lebih berseri lagi dengan pertandingan tujuh pondok tradisi yang diwarnai dengan pameran peralatan tradisi suku kaum Dusun.

Selain itu pertandingan masakan makanan tradisi juga turut disertai oleh setiap kumpulan pondok tradisi.

Pada majlis itu Victor mewakili Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri RM30,000.00 kepada Kiawayan Club Dance SK Kiawayan yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan Asia Folk 2024 Festival di Ulaanbaatar, Mongolia pada 14 hingga 16 Jun ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Datin Seri Corrina Agnes Sinidol berjumlah RM20,000.00 dan sumbangan peribadi beliau RM10,000.00 kepada Kiawayan Club Dance.

Selain itu Victor memberi sumbangan kewangan kepada Koperasi TANI Kampung Tondulu sebanyak RM2,500.00 utk kos membeli sulur nanas sebanyak 5,000 sulur untuk ditanam di ladang l seluas satu ekar dan RM500.00 kepada Belia Kampung Tondulu untuk kos mengecat gelanggang sepak takraw dalam dewan.

Victor berharap Kiawayan Club Dance akan mencapai kejayaan seperti yang mereka capai pada tahun 2019 di mana pada ketika itu kelab ini merangkul juara Harmanfolk Folklore Festival di Istanbul Turki.

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meluluskan sumbangan dana sebanyak RM30,000.00 khas untuk Kiawayan Dance Club.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN