Mohd Rafi bersama pasukan UMNO Wilayah Perdekutuan yang membantu kempen PRN Sabah bagi kawasan Parlimen Kimanis dan Beaufort.
MEMBAKUT: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yakin empat calon BN yang bertanding di DUN kawasan Parlimen Kimanis mampu menoktahkan kemenangan selepas melihat rakyat di kawasan itu memberi respon yang cukup baik kepada calon BN yang bertanding di kerusi DUN Parlimen Kimanis.
Beliau yang juga Ketua Jentera BN Wilayah Persekutuan Negeri Angkat Parlimen Kimanis, berkata jentera BN Kimanis yang dibantu oleh pasukan Nukleus iaitu jentera parti UMNO Bahagian Labuan yang melakukan gerak kerja secara tersusun dan strategik membantu kempen PRN Sabah bagi Parlimen Kimanis termasuk di Parlimen Beaufort diterima rakyat dengan respon yang positif.
“Ahamdulilah jentera pasukan UMNO Wilayah Persekutuan yang diterajui UMNO Bahagian Labuan turun membantu kempen calon BN ke setiap PDM telah mendapat respon positif bukan sahaja dikalangan jentera parti tetapi juga rakyat memberikan respon yang cukup baik dan ini sekaligus menjadi kelebihan kepada calon BN untuk memenangi empat kerusi di DUN Parlimen Kimanis”, katanya.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, daripada maklumat yang di perolehi, pengundi di Parlimen Kimanis dan Beaufort mula merindui zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang menyaksikan pembangunan berjaya dirancang dengan baik, ekonomi negeri berkembang pesat, dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.
“Ramai rakyat di Kimanis yang majoriti penduduknya bumiputera Islam dan penyokong asas BN masih merindui dan mengingati zaman pentadbiran BN yang stabil dan terancang. Ketika itu, pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan menjadi keutamaan,”katanya.
Selain itu, personaliti calun yang berintegriti, berwibawa, dan mesra rakyat yang diketengahkan oleh BN juga menjadi faktor keyakinan pengundi untuk menyokong calon BN.
Menurut Mohd Rafi lagi golongan anak muda juga turut memberikan sokongan kepada calon BN, selepas mereka melihat kegagalan parti memerintah GRS menyelesaikan isu isu kepentingan rakyat seperti bekalan air, tenaga elektrik dan ekonomi rakyat.
“Malah mereka juga menolak parti yang diselubungi dengan kes rasuah”, katanya.
Sementara itu, kerusi DUN Bongawan adalah kawasan ‘panas’ dan menarik kerana terdapat tiga nama besar yang bertanding dimana BN diwakili Timbalan Menteti Luar Datuk Muhamad Alamin, GRS akan diwakili oleh Mantan Menteri Luar, Tan Sri Anifahh Aman dan penyandang kerusi DUN Kimanis Dr. Daud Yusof dari Parti Warisan.
Selain tiga nama besar yang bertanding terdapat enam lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding masing masing dari parti KDM, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), STAR, Parti Impian Sabah (PIS) dan Bebas.



