Masidi (kedua kanan), Roslan (ketiga kanan) dan lain-lain menunjukkan gesture Madani dalam majlis itu.
RANAU: Rakyat di daerah ini diingatkan untuk menjaga persahabatan dan kekeluargaan di kalangan mereka, lebih-lebih lagi menjelang musim Pilihan Raya yang akan diadakan tidak lama lagi.
Penyandang kerusi DUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat mesti menghormati fahaman politik masing dan jangan biarkan perbezaan politik antara sesama memecah belahkan perpaduan rakyat setempat.
“Kita tidak boleh paksa orang untuk mengundi kita. Tapi satu perkara yang kita harus pegang ialah, jangan biarkan perbezaan politik mengakibatkan negara dan negeri kita berpecah,” katanya.
Beliau memuji kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kehadiran para pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kuala Lumpur untuk menghadiri Persidangan ASEAN di sini.
“Bukan senang dapat mempelawa para pemimpin dunia hadir bersama dalam satu venue, apatah lagi di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa para pemimpin dunia yakin dengan keupayaan negara kita mengekalkan keharmonian.
“Kita sudah berada di landasan yang cukup baik sehinggakan dikenali di seluruh dunia dengan reputasi yang positif. Justeru, kita harus kekalkan ini, kekalkan perpaduan, jangan biarkan ia rosak kerana pilihanraya,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara yang terbaik untuk didiami, dan Sabah adalah negeri yang terbaik di Malaysia kerana sikap toleransi tinggi yang membuahkan perpaduan yang mantap.
Masidi berkata, pelbagai kemudahan dan kelebihan di Sabah yang tidak dapat diperolehi di negeri lain di mana salah satunya ialah Skim Insuran Kemalangan percuma yang dinikmati oleh semua rakyat Sabah.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga telah membelanjakan berbillion ringgit untuk memberikan pelbagai bantuan pembelajaran yang telah dinikmati oleh anak-anak Sabah.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan, kita akan memperkenalkan pengajian percuma kepada semua anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke kolej-kolej milik Kerajaan Negeri Sabah.
“Kenapa kita lakukan semua ini, kerana kita mampu lakukannya, hasil kejayaan mengurus kewangan negeri kita dengan terbaik. Hari ini kita mempunyai simpanan sebanyak RM86 billion, dan kita mampu memberikan kemudahan-kemudahan kepada rakyat kita,” katanya.
Semua ini, katanya adalah hasil kestabilan politik yang tidak akan dapat dinikmati jika setiap lima tahun kerajaan asyik ditukar.
Masidi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ukwah Madani Komuniti Kampung Liposu Baru anjuran Akedemi Kenegaraan (AKM) Malaysia di bawah Pejabat Perdana Menteri yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau memuji inisiatif badan tersebut yang berjaya menganjurkan program itu dengan begitu baik dan kerana memilih lokasi Kampung Lipasu Baru sebagai venue program tersebut pada kali ini.
Masidi berharap agar semua yang hadir dalam program itu dapat memperolehi manfaat yang disalurkan melalui penganjuran aktiviti yang memberikan impak positif kepada para peserta.
Tambah beliau, program yang dianjurkan itu bukan sahaja memberikan input yang bernas kepada para hadirin yang mengikuti acara itu, malahan ia juga dapat mengeratkan silaturahim di kalangan semua yang hadir.
Beliau mengalu-alukan kehadiran para peserta program ke Kg Lipasu dan berharap mereka dapat menikmati keindahan alam yang segar di sini dan membawa pulang banyak gambar serta kenangan manis dari kampung ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussein,Penyandang Adun Dilantik, Datuk Amisah Yassin, para peserta, penduduk dan pemimpin kampung setempat.



