28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Perlu Bijak Pilih Gabungan Parti Yang Akan Membentuk Kerajaan Negeri.

Georgina

RANAU: Rakyat Sabah perlu sedar bahawa dalam Pilihanraya Negeri ke 16 (PRN16) kali ini, mereka memilih bukan hanya Wakil Rakyat yang boleh menunaikan tanggungjawab yang sebaik-baiknya di kawasan mereka, tetapi juga memilih gabungan parti yang akan membentuk Kerajaan Negeri.

Calon UPKO untuk Kerusi DUN Paginatan, Georgina L George berkata, suara parti-parti tempatan harus dinilai dari jumlah representasi mereka dalam gabungan yang mereka sertai.

“Parti-parti tempatan Sabah seringkali berhujah mengenai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, tuntutan Hak-Hak Sabah, dulu tuntutan 20 Perkara dan semua mengenai autonomi Sabah.

“PRN16 Sabah 2020 memberi rakyat Sabah tiga pilihan gabungan parti utama dalam menentukan undi mereka. Pilihan pertama adalah gabungan parti yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah iaitu WARISAN, UPKO dan Pakatan Harapan Sabah (PKR, DAP dan Amanah).

“Gabungan ini bertanding di 73 kerusi DUN di mana WARISAN dan UPKO selaku parti tempatan bertanding di 58 kerusi, iaitu lebih 2/3 daripada jumlah kerusi DUN di Sabah.

“DAP dan Amanah meminjam guna lambang parti tempatan, iaitu logo Parti WARISAN. Ini jelas menunjukkan bahawa parti-parti dari Semenanjung hormat dan akur kepada parti tempatan,” jelas beliau.

Georgina (tengah) menyantuni masyarakat di sekitar Tamu Pekan Ranau dalam walkabout yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Georgina, representatasi parti tempatan lebih dominan dan apabila menubuhkan Kerajaan Negeri, maka dasar-dasar dan keputusan-keputusan Kerajaan Negeri akan berasaskan kepada acuan parti-parti tempatan.

Sementara pilihan kedua, katanya, terdiri dari gabungan parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan iaitu Umno, Bersatu, MCA, PBS, Star dan PBRS (serta SAPP dan PAS).

“Gabungan ini bertanding di 73 kerusi DUN. Parti dari Semenanjung, iaitu Umno, Bersatu dan MCA bertanding di 56 kerusi, iaitu lebih 2/3 daripada jumlah kerusi DUN di Sabah.

“Representasi parti tempatan dalam gabungan ini, iaitu PBS, Star, PBRS dan SAPP hanya 17 kerusi sahaja, iaitu kurang daripada 1/3 dari kerusi DUN di Sabah. Sudahlah tidak sampai 1/3, mereka bergaduh, berlanggar dan bertanding sesama sendiri.

“Nyata sekali tiada kesatuan. Jadi bagaimana mungkin memperjuangkan tuntutan Perjanjian Malaysia dan Hak-Hak Sabah jika suara anda ditenggelami oleh parti Semenanjung?” soal beliau.

Georgina berkata, jika pilihan ini yang menubuhkan Kerajaan Negeri, maka dasar-dasar dan keputusan-keputusan Kerajaan Negeri Sabah akan berasaskan kepada acuan parti Semenanjung.

Georgina (tengah) dan para sahabat dalam gabungan UPKO dan Warisan Plus bersama-sama bertemu para komuniti peniaga di tamu Ranau

Parti tempatan seperti Star, PBRS dan SAPP katanya, tidak berpeluang menggunakan lambang parti sendiri dan ini menunjukkan mereka terpaksa tunduk kepada parti-parti Semenanjung.

“Pilihan ketiga pula adalah mereka yang berkempen atas kapasiti sendiri seperti PCS dan LDP. Tapi firasat saya, akhirnya mereka ini akan bergabung atau bekerjasama dengan gabungan dalam pilihan kedua tadi,” jelas beliau.

Justeru, Georgina menggesa para pengundi untuk fikirkan tentang perkara ini dan memastikan mereka mengundi hanya parti-parti di dalam gabungan parti Warisan iaitu pilihan pertama.

“Ikut sejarah, dahulu Donald (Tun Fuad) Stephens, Datu Mustapha Datu Harun dan Khoo Siak Chiew menandatangani Perjanjian Malaysia pada tahun 1963 supaya parti-parti tempatan memerintah Sabah dan merdeka.

“Namun sejak itu, parti-parti tempatan memerintah Sabah sehingga parti-parti dari Malaya memasuki Sabah. Saya ajak kita sama-sama merenungi kaitannya Perjanjian Malaysia 1963 dan Pilihan Raya Negeri Sabah 2020,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN