0leh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Bertemakan “Aiso Wolit Montok Piompunan Om Pibabasan” (Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Kedamaian dan Keamanan), Pesta Kaamatan pada tahun ini amat bermakna, walaupun diraikan dalam situasi yang amat mencabar.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir (gambar), berkata bulan Mei setiap tahun merupakan bulan yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menonjolkan keunikan budaya suku kaum di Sabah.
Bagaimanapun katanya, disebabkan Pandemik COVID-19, rakyat di negeri ini khususnya masyarakat dari suku kaum KDM, tidak dapat meraikannya sepertimana pada tahun-tahun sebelum ini.
“Namun ia tidak menghalang untuk kita sama-sama meraikannya dengan pendekatan baharu.
“Kaamatan tahun ini akan menjadi satu landasan untuk kita membawa perayaan turun menurun ini ke peringkat global. Penganjuran Pesta Kaamatan secara virtual, memberi peluang kepada kita untuk menonjolkan keunikan kebudayaan rakyat negeri Sabah kepada dunia,” katanya.
Beliau juga berkata, rakyat maklum dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun Total Lockdown bagi tempoh 14 hari bermula pada 1 Jun hingga 14 Jun 2021 ini sebagai langkah untuk memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia.
Justeru, beliau mengajak rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebagai norma baharu dalam kehidupan dan aktiviti harian. Jelasnya ini penting untuk memutuskan rangkaian jangkitan serta mengelakkan terjadinya kluster baharu.
Abidin yang juga wakil rakyat Paginatan turut mengambil peluang mengucapkan ‘Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan’ kepada seluruh penduduk daerah Ranau, khususnya di kawasan DUN Paginatan.
“Sesungguhnya saya ingin merayakan Kaamatan ini bersama-sama dengan penduduk kampung khususnya dalam kawasan saya, namun hasrat ini tidak dapat dilaksana pada tahun ini.
“Saya juga ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada cik Dianarin Vahidin, peserta Unduk Ngadau, mewakili Paginatan-Ranau kerana berjaya memasuki peringkat akhir setelah terpilih sebagai Top 21. Semoga beliau akan berjaya ke peringkat seterusnya dan saya berharap pengalaman yang beliau perolehi dalam pertandingan ini akan dapat dimanfaatkan di masa hadapan,” tambah Abidin.