Hospital Queen Elizabeth (QEH1) Kota Kinabalu
TIDAK dapat dinafikan, Hospital Queen Elizabeth, khususnya QEH1, berada pada tahap tersendiri dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti. Komitmen ini jelas selari dengan Piagam Pelanggan hospital yang menekankan janji memberikan perkhidmatan secara profesional, selamat, mesra, penyayang serta berteraskan kualiti.
Sebagai seorang pesakit yang sedang dan pernah menerima rawatan di hospital ini, penulis sendiri berpeluang merasai aura keikhlasan serta dedikasi tinggi yang dizahirkan oleh seluruh warga kerja QEH1.
Bermula daripada pengawal keselamatan, petugas kebersihan, kakitangan kaunter, Pembantu Perawatan Kesihatan, petugas sokongan di setiap unit, Pembantu Perubatan, jururawat sehinggalah ke Pegawai Perubatan dan doktor pakar, kesemuanya mempamerkan tahap profesionalisme yang wajar dipuji.

Pengalaman tersebut bermula apabila penulis membuat temu janji bagi menjalani pembedahan membuang tonsil tahap tiga di Klinik Otorinolaringologi (ORL) Telinga, Hidung dan Mulut (ENT). Di klinik berkenaan, layanan mesra serta penerangan yang jelas diberikan tanpa mengira latar belakang pesakit, sekali gus memudahkan urusan di unit-unit lain sebelum pembedahan dijalankan.
Perkhidmatan di bahagian X-Ray, pengambilan darah dan unit bius turut dilaksanakan dengan cekap, teratur dan penuh hemah.
Pada 23 Januari 2026, penulis dimasukkan ke wad QEH1 bagi menjalani prosedur pra-pembedahan, sebelum pembedahan dilaksanakan pada keesokan harinya. Sepanjang berada di wad, jelas kelihatan keutamaan yang diberikan oleh warga hospital terhadap kebajikan dan keselamatan pesakit. Selepas pembedahan pertama, pemantauan rapi dan perhatian berterusan diberikan setara dengan pesakit lain.

SOKONGAN ..Penulis turut dilawati oleh rakan-rakan media dari Borneo Daily Bulletin
Walaupun sepatutnya discaj dalam tempoh singkat, penulis terpaksa menjalani pembedahan kedua kurang daripada 24 jam kemudian akibat pendarahan di beberapa bahagian. Namun begitu, pemantauan berterusan, lawatan harian oleh beberapa doktor bersama doktor pakar serta sikap teliti dalam pemeriksaan membuktikan tahap tanggungjawab dan keprihatinan yang tinggi terhadap pesakit.
Secara keseluruhan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh QEH1, khususnya oleh para doktor, jururawat serta pelatih kejururawatan dari Universiti Malaysia Sabah, mencerminkan dedikasi yang luar biasa serta fokus tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan dan kesihatan pesakit.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang wajar diberi perhatian dan penambahbaikan, khususnya berkaitan penyediaan pakaian pesakit. Terdapat keadaan di mana pakaian disediakan tidak lengkap atau kurang selesa, seperti butang yang tidak mencukupi serta seluar yang longgar akibat getah yang telah rosak. Walaupun perkara ini kelihatan kecil, namun ia memberi kesan langsung terhadap keselesaan pesakit dan wajar dipantau serta ditangani dengan sewajarnya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga Hospital Queen Elizabeth (QEH1) atas khidmat bakti yang penuh profesionalisme dan kemanusiaan.



