James (duduk) berbincang sesuatu dengan pegawainya di DUN, baru-baru ini
KOTA KINABALU: Peluasan bagi projek pembinaan pusat perlindungan sementara (PPS) untuk kanak-kanak jalanan di Tawau dan Sandakan kini dalam pertimbangan daripada Kerajaan Negeri, jelas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.
Menurut beliau, perkembangan tersebut adalah susulan daripada pelaksanan projek perintis yang dilaksanakan awal tahun ini.
Tambah beliau, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan persekutuan atau pun kerajaan negeri bagi menyediakan bangunan kekal untuk kanak-kanak jalanan pada masa akan datang.
“Kita sedia maklum bahawa perkara ini akan sentiasa berulang dari masa ke semasa. Justeru kita mesti ada satu garis panduan supaya perkara ini berkekalan dan bukan hanya untuk jangkamasa sementara.
“Tapi untuk masa sekarang, kita akan tumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak jalanan. Dan ini akan dijalankan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini baru-baru ini.
James yang juga Adun Sugut berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti bekas rumah kerajaan di Tawau dan Sandakan yang bakal dijadikan sebagai rumah untuk kanak-kanak jalanan tersebut.
“Di sini mereka akan dilatih dan dididik mengenai perkara-perkara asas kehidupan agar kelak mereka tidak lagi mengemis di jalan-jalan dan pinggir bandar.
“Sekarang kita tengah berunding dengan Kementerian Kewangan dari segi bajet untuk pembaikan rumah-rumah tersebut,” katanya lagi.
James menambah, kanak-kanak jalanan di Kota Kinabalu yang sebelum ini diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara telah pun dikembalikan kepada keluarga mereka dengan syarat.
“Sekarang ini, lebih kurang ada 20 lebih lagi kanak-kanak yang tinggal di sana. Walau bagaimanapun, saya bersama pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan sentiasa memantau perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.