26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMAJUAN PELAJAR UMS MEMARTABAT PENGHAYATAN NILAI BUDAYA MELALUI PERTANDINGAN DOODLE PERINGKAT ANTARABANGSA

Gambar: Dr.Jurry Foo

OLEH : DR JURRY FOO
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan pelajar, Universiti Malaysia Sabah.

PUSAT Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memartabatkan penghayatan nilai budaya melalui pertandingan doodle peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh mahasiswa yang mengambil kursus kokurikulum berkredit Lukisan dan catan yang diketuai pengarah program iaitu mahasiswa Mohd Asraf bin Gepilin.

Program yang bertemakan seni budaya itu dibimbing oleh pensyarah En. Seidi Atiman sebagai aktiviti wajib Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Siswa Prihatin (SPRINT) dalam memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk menguasai kemahiran kepemimpinan dan interpersonal melalui khidmat masyarakat dan pengalaman bekerja sebagai sebuah pasukan. Ini juga merupakan satu kaedah mendidik mahasiswa mengoptimumkan ruang digital sebagai medium PdP dalam membina masyarakat siber yang bertanggungjawab sesuai dengan era Revolusi Industri 4.0.

Pertandingan doodle tersebut disertai oleh pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia termasuk mahasiswa dari negara China. Karya doodle yang dihasilkan memaparkan penghayatan nilai budaya dalam persekitaran sosial peserta termasuk pakaian etnik, latar kehidupan dan perayaan. Karya-karya yang dihasilkan menjadi bahan penyampaian maklumat kepelbagaian masyarakat ke arah pembentukan masyarakat yang prihatin dan sejahtera.

Pengadil berpengalaman iaitu En. Baron Kampiau dan Cik Citinaly Dolimin telah dilantik sebagai penilai karya. Keputusan akhir menunjukkan karya Mercy Marcella Moses Philippinus pelajar SM St. John Beaufort dinobatkan sebagai Johan. Manakala karya Rohadatul Laila Binti Abdul Hassandari SMKA Mohamad Ali, Ranau dan Ken Charity Jacksonyang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu masing-masing merangkul naib Johan dan tempat ketiga.

Sementara itu, tujuh belas lagi peserta diumumkan sebagai pemenang saguhati. Semua peserta diberikan sijil digital sebagai penghargaan. Senarai karya 20 terbaik dapat dilayari melalui https://web.facebook.com/umssprint.lukisan

Karya yang terpilih akan diterbitkan oleh PKPP sebagai buku dalam kompilasi digital yang boleh digunakan sebagai bahan rujukan masa akan datang, bahan penghayatan budaya dan juga sebagai penghargaan dan motivasi kepada karyawan muda ini. PKPP juga membuka peluang kepada peminat seni untuk membeli karya yang diminati dengan harga yang berpatutan.

Setakat ini dua buah karya doodle daripada pertandingan ini telah mendapat tempahan. Ini menunjukkan potensi karyawan menceburi bidang keusahawan pada masa akan datang. Manakala maklum balas positif daripada beberapa sekolah juga membuka ruang kerjasama untuk mengadakan program seumpama ini dengan lebih kerap pada masa akan datang sesuai dengan peranan UMS yang sentiasa dekat dengan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN