Arthur…..Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
KUALA LUMPUR:Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah secara keseluruhannya terdiri daripada tiga (3) fasa di mana Fasa Satu (1) diberikan keutamaan pelaksanaannya terlebih dahulu dengan anggaran jarak keseluruhan Tujuh Ratus Enam kilometer (706 km) dan dibahagikan kepada tiga puluh lima (35) pakej kerja.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sehingga kini, dua belas (12) pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan pembinaan sehingga September 2021 bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah lima puluh sembilan perpuluhan enam tujuh peratus(59.67%).
“Manakala, Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga (3) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan daripada Sandakan Mile Tiga Puluh Dua (32)
sehingga Sungai Baoto telah dikeluarkan dan kerja-kerja pembinaan tiga (3) pakej tersebut akan bermula pada tahun ini” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Ahfang Suan yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah status projek
lebuh raya Pan Borneo bagi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri dapat berjalan dengan baik seterusnya dapat memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khusus buat rakyat Sabah pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas Dewan Negara Malaysia hari ini.
Arthur berkata, satu (1) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusup ke Pituru pula telah diperuntukkan di dalam RP1 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), menjadikan keseluruhan enam belas (16) pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini.
“Selain menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan yang akan memberi manfaat kepada tiga perpuluhan sembilan juta (3.9 juta)
rakyat Sabah secara amnya, Projek LPB ini perlu dilihat dari aspek yang lebih luas terutama daripada segi rantaian nilai atau ‘value chain’. Di mana peluang penglibatan dapat diberikan kepada kontraktor-kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan samada sebagai perunding atau consultant, vendor, pembekal mahupun kontraktor” jelasnya.
Projek ini katanya, akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan negeri Sabah.
“Projek LPB ini juga akan merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah koridor Sabah dan ini bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan diantara wilayah dan merentangi ekonomi seimbang diantara bandar dan luar bandar” tambahnya.
Dalam masa yang sama Arthur memberitahu penambahbaikan dalam konteks perkhidmatan logistik dapat dipertingkatkan khususnya bagi pelaburan sedia ada yang telah dikenal pasti dibawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).
Katanya, Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut dan memberi manfaat khususnya kepada rakyat Sabah.