SUMBANGAN…pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr Lubok Temiang bersama barangan yang disumbangkan oleh LABUANfm dan PUSPANITA
LABUAN: Senergi LABUANfm anjuran Jabatan Penyiaran Labuan merupakan aktiviti tanggung jawab sosial penyampai radio dan kakitangan RTM sempena kehadiran bulan Ramadan Al Mubarak.
Program yang bertemakan Nikmat Ramadan DiKongsi Bersama yang dijayakan 20 warga kerja LABUANfm termasuk penyampai radio berhasil menyantuni dua buah Madrasah Tahfiz Al-Quran Seri Merinding dan Maahad Tahfiz Al-Quran Al Badr memberikan sumbangan juadah berbuka puasa.
Program yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Suri Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Labuan.
Pengarah Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, antara objektif pelaksanaan program adalah untuk menunjukkan kecaknaan melalui aktiviti tanggungjawab sosial terhadap masyarakat setempat.
“Program ini juga secara tidak langsung sebagai meraikan dan mendekati para pelajar tahfiz melalui aktiviti kunjung ziarah.
“Malah melalui penyampaian bantuan dan sumbangan mengikut keperluan pusat tahfiz masing masing telah membolehkan mereka meneruskan aktiviti pembelajaran dalam keadaan yang lebih selesa” katanya ketika ditemui media pada program itu, pada Jumaat.

TERIMA…..Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding Haji Ariff Aliskah menerima sumbangan daripada Aminah
Menurut Aminah, melalui program ini juga ia boleh mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan yang lain serta swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Disamping mendekati pendengar, program ini juga sekaligus mempromosikan program-program RTM, selain untuk mendapatkan maklum balas pendengar mengenai siaran LABUANfm” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA Labuan, Dayang Monira Mohd Yusof menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati kerana berpeluang dapat bekerjasama dengan LABUANfm menerusi Program Senergi LABUANfm.
Pada progam ini katanya, PUSPANITA menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan seperti penghawa dingin, kipas, bantal dan juga makanan.



