Ahmad Maslan tengah begambar kenangan bersama pemimpin masyarakat akar umbi pada majlis perjumpaan tersebut.
LABUAN:Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan menghadiri perjumpaan santai bersama pemimpin masyarakat peringkat akar umbi yang melibatkan Ketua Ketua Kampung, pemimpin NGO’s Labuan, anak muda dan kepimpinan UMNO Bahagian Labuan lima peringkat yang telah diadakan di Labuan International Golf Club (LIGC) baru baru ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias dan Ketua Kampung Batu Manikar yang juga Pengerusi Penganjur, Ismail Samad.
Program anjuran Jawatan Kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu antara lain bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai permasalan rakyat kepada kerajaan terutamanya yang berkaitan isu isu Kementerian Kerja Raya.
Antara yang disuarakan oleh Ketua Kampung dalam pertemuan hampir satu jam itu ialah masalah jalan raya yang perlu dinaik taraf seperti Jalan Sharif Kedah di Kampung Batu Arang dan pemasangan lampu Isyarat simpang Kampung Kilan.

Ahmad Maslan menyerahkan sumbangan beras program Peduli Rakyat kepada salah seorang ketua keluarga pengantin.
Terdahulu sebelum itu, Ahmad Maslan yang dalam rangka lawatan kerja dan program Turun Padang (TuPa) dua hari ke Labuan, telah melakukan majlis serah projek siap Jambatan Patau Patau Satu bernilai RM11. 1 juta serta meninjau pelaksanaan projek baik pulih bangunan asrama perempuan blok A dan B Kolej Vokasional Labuan yang bernilai RM10. 8 juta.
Sejurus selesai menghadiri program santai bersama pemimpin, Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengadiri Program Peduli Rakyat UMNO Bahagian Labuan untuk mengagihkan 1,500 kilogram beras kepada 15 buah keluarga yang menganjurkan majlis perkahwinan anak mereka.
Sementara itu, Mohd Rafi menyifatkan pertemuan pemimpin akar umbi bersama Timbalan Kerja Raya itu menjadi wadah yang
bermanfaat untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dengan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, melalui ruang perbincangan yang terbuka dan bersemuka, segala permasalahan rakyat dapat diangkat, diteliti serta diberikan perhatian sewajarnya demi memastikan kesejahteraan masyarakat Labuan bukan sahaja terbela, tetapi pembangunan infrastruktur di pulau ini dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, berkesan dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh rakyat.



