Jonathan bersama penduduk semasa Program Jualan Rahmah Peringkat Kampung Mangkadait di sini, baru-baru ini.
RANAU: Program Jualan Rahmah Peringkat Kampung Mangkadait yang berlangsung hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat luar bandar.
Program yang diadakan di Dewan Kampung Mangkadait bersempena Sambutan Kemerdekaan itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk serta meninjau gerai-gerai jualan yang disediakan.
Jonathan menyambut baik penganjuran program berkenaan yang disifatkan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, khususnya dalam membantu golongan sasaran mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
Beliau berkata inisiatif seumpama itu amat bertepatan dalam membantu masyarakat luar bandar menghadapi peningkatan kos sara hidup, selain membuktikan keprihatinan pihak penganjur dan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Program ini merupakan bukti keprihatinan pihak penganjur dan kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat luar bandar melalui penawaran harga barangan yang jauh lebih rendah daripada pasaran biasa,” katanya selepas meninjau tapak jualan.
Menerusi program itu, barangan keperluan asas terpilih seperti beras, minyak masak, gula, ayam segar dan telur ditawarkan dengan potongan harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.
Potongan harga berkenaan merupakan kadar diskaun standard di bawah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Datuk Rusdin Riman yang menekankan kepentingan perpaduan dan penyatuan masyarakat demi kepentingan komuniti tanpa mengira perbezaan latar belakang politik.
Selain jualan barangan keperluan pada harga berpatutan, program itu turut dimeriahkan dengan penglibatan usahawan mikro, aktiviti sukaneka seperti tarik tali serta persembahan artis jemputan tempatan.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.



