32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Program Hos’Tou beri pendedahan kepada pelajar menengah

Para peserta bergambar bersama di dalam program sehari itu.


RANAU: Sekumpulan pelajar kolej menganjurkan program Hospitaliti dan Pelancongan (Hos’Tou) sehari sebagai projek akhir mereka sambil memperkenalkan bidang itu kepada sekumpulan pelajar menengah di sini pada Sabtu.


Program ‘Exposing The Hos’Tou and Learning The Culture With Community Event’ telah dianjurkan oleh 15 pelajar Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC) di Rumah Budaya Liwan Ranau.


Turut serta sebagai jurupandu dan pengiring kepada pelajar kolej ialah lima orang pensyarah yang menunjukkan kepada mereka cara yang betul dan terbaik untuk mengatur sesuatu majlis dan berurusan dengan pihak luar.

Para peserta bergambar bersama di dalam program sehari itu.


Pensyarah Hospitaliti dan Pelancongan NBUC, Dewie Trieana Arfianie binti Azahar berkata pelajar kolej tersebut dikehendaki menganjurkan program dan memastikan ia berjalan lancar.


“Ini adalah dalam sukatan pelajaran mereka dan ia dilakukan sebagai peperiksaan akhir mereka memandangkan 50 peratus markah peperiksaan akhir mereka datang daripada program ini. Itulah sebabnya program ini penting untuk mereka.


“Di sini mereka belajar cara terbaik untuk menganjurkan acara. Saya hanya penasihat dan menunjukkan cara untuk membuat aliran lebih baik dan lancar, manakala mereka yang melakukan semua pengaturan dari A hingga Z,” katanya.


Dewie berkata, sehari sebelumnya, seramai 150 pelajar SMK Ranau telah ditunjukkan demonstrasi cara membuat mocktail (minuman tanpa alkohol) dan memperkenalkannya kepada masyarakat umum memandangkan ia masih kurang dikenali berbanding jenis minuman koktel.


“Selain itu kami juga menganjurkan ceramah mengesan cap jari daripada pihak penguatkuasa keselamatan. Yang ini berkaitan dengan mengesan cap jari di tempat kejadian. Kami juga melakukan ceramah mengenai teknik gaya lipatan Napkin hotel dan resort dalam 23 cara berbeza.


“Hari ini kami menjemput pelajar dari tiga sekolah menengah iaitu dari SMK Mat Salleh, SMK Ranau dan SMK Lohan untuk menunjukkan dan membenarkan mereka menyertai aktiviti tersebut, selain memperkenalkan mereka kepada Hos’Tou.


“Kami berharap program ini berjalan lancar dan pelajar membawa impak tertentu kepada masyarakat di sini, dan sebaliknya, kita mahu pelajar diberi pendedahan yang lebih baik untuk masa depan mereka,” katanya.


Bagi pengalaman peribadinya, Dewie berkata dia amat gembira kerana dapat datang ke Rumah Budaya Liwan yang terletak di Kg Kokob Ranau di mana ini kali kedua dia datang ke sini kerana menyukai budaya penduduk di sini yang suka membantu orang lain.


“Saya juga gembira dengan penyertaan padu pelajar sekolah menengah ke program tersebut yang mana penyertaan mereka amat menggalakkan terutama dalam aktiviti demonstrasi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Program Pengurusan Acara, Ave Wenddy Lijamin, 22 yang berasal dari Kg Kiwawoi Ranau dan kini mengambil Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dan Resort Antarabangsa di NBUC berkata program itu wajib mereka jalani sebagai projek akhir.


“Ini merupakan tahun ketiga atau terakhir bagi kami berlima di sini untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Hotel dan Resort Antarabangsa (BIHRM).


“Antara pelajar NBUC yang menyertai program ini hari ini, selain lima daripada BIHRM, tiga daripada Fakulti Penguatkuasaan dan Pengurusan Keselamatan, seorang daripada Diploma Pengurusan Kru Kabin Penerbangan dan empat lagi daripada Diploma Pengurusan Hotel,” katanya.


Bagi dirinya sendiri, Wenddy berkata dia tertarik dengan bidang perhotelan dan pelancongan selepas ibu saudaranya membuka Rumah Budaya Liwan beberapa tahun lalu dan ini membuka matanya tentang sisi menarik sektor ini.


“Saya mendapat inspirasi daripada tempat ini untuk mendalami bidang perhotelan dan pelancongan lebih-lebih lagi Ranau merupakan tempat pelancongan utama dan banyak peluang boleh dicapai di sini.


“Walaupun prospek perniagaan menarik di sini, saya juga teruja dengan idea menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di sini pada masa hadapan. Jadi manfaat untuk ramai orang banyak.


“Bagi program ini, selain daripada mencapai matlamat peribadi kami, kami juga memberi pendedahan awal kepada pelajar menengah tentang elemen menarik hospitaliti dan pelancongan khususnya di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, tujuan lain program dilaksanakan di Rumah Budaya Liwan adalah untuk melihat gaya hidup, budaya dan sebagainya masyarakat Ranau selain menarik perhatian pelajar di Ranau terhadap sektor perhotelan dan pelancongan.


Tambah Wenddy, antara objektifnya adalah untuk mendedahkan masyarakat dan pelajar, membolehkan semua peserta mempelajari budaya masyarakat Ranau, memupuk nilai sosial dan hubungan baik dengan masyarakat, meningkatkan pembelajaran, serta memberikan keseronokan, interaktif dan peluang praktikal.


Antara aktiviti dalam acara tersebut termasuklah demonstrasi mocktail, demonstrasi memotong sayuran, cabaran mocktail, cabaran memotong sayuran, dan promosi aktiviti hotel.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN