Aksyah
KOTA KINABALU: Program Felo SMJ 4.0 disifatkan sebagai satu lagi bukti keprihatinan dan visi strategik Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperkasa generasi muda negeri ini ke arah kepimpinan masa hadapan.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata inisiatif itu bukan sekadar program latihan, tetapi merupakan langkah penting dalam membentuk barisan pemimpin muda yang berpengetahuan, berdisiplin dan berwawasan.
“Hajiji sedar bahawa untuk melahirkan pemimpin Sabah yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, golongan belia perlu diperkasa dengan ilmu, pengalaman serta pendedahan dunia sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pembangunan modal insan menjadi antara sendi utama yang akan memastikan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Aksyah berkata, keterlibatan peserta program dalam penempatan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Sabah memberi peluang kepada mereka menyaksikan sendiri kejayaan yang dicapai di bawah kepimpinan Hajiji dan pentadbiran GRS-PH Plus.
“Selain menilai kejayaan, peserta juga berpeluang mempelajari nilai kerja, disiplin dan norma penting yang akan membentuk mereka sebagai tenaga muda berdaya tahan apabila memasuki dunia pekerjaan kelak,” jelasnya.
Beliau menegaskan, Program Felo SMJ 4.0 berperanan besar dalam melahirkan belia dan beliawanis Sabahan yang progresif dan berpandangan jauh, sekali gus menangkis persepsi negatif yang cuba dibawa oleh pihak tertentu.
“Naratif ‘Kerajaan Gagal’ yang dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak tidak akan mampu mempengaruhi minda dan mentaliti sihat golongan belia yang berfikiran matang,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta program dan berharap mereka memanfaatkan sepenuhnya pengalaman itu untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada pembangunan Sabah.
Aksyah turut menyifatkan langkah memperkasa belia melalui Felo SMJ 4.0 membuktikan kepimpinan Hajiji sentiasa berpandangan jauh dalam membina masa depan negeri.
“Dengan keprihatinan dan fokus terhadap pembangunan belia, tidak keterlaluan sekiranya Hajiji layak digelar Bapa Pembangunan Modal Insan Sabah,” katanya.



