Program Derma Darah anjuran  BSMM Tuaran diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri.

Program Derma Darah anjuran BSMM Tuaran diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri.

08/03/2021 Off By Admin

AJK Penganjur bergambar sama Julia (duduk lima dari kanan)

TUARAN: Program Derma Darah anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Tuaran diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Julia Salag di bangunan BSMM, dekat sini kemarin.

Lebih mengujakan, Datin Seri turut sama menderma darah sebagai tanda sokongannya kepada program berkenaan.

Program diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Bahagian Pantai Barat Selatan, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Unit Tabung Darah Hospital Tuaran, Yu Huang Temple Tuaran, Ling San Temple Tuaran dan Majlis Belia Sabah (MBS).

Julia turut menderma darah pada program itu.

Pengerusi BSMM Daerah Tuaran, Datuk Jahid Jahim, berkata, pihaknya amat menghargai kehadiran Julia, lebih-lebih lagi atas kesudiannya menderma darah.

“Kepada semua penderma dan para penyumbang yang terlibat, kita ucapkan berbanyak-banyak terima kasih,” katanya.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berharap agar lebih ramai orang akan tampil menderma darah bagi membantu pihak hospital yang kekurangan bekalan darah.

“Satu unit darah yang anda derma dapat menyelamatkan pesakit yang sedang bertarung nyawa dalam pembedahan, mangsa kemalangan, serta merawat pesakit kronik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G Mohan, turut memuji program tersebut sebagai usaha murni bagi membantu menampung keperluan bekalan darah hospital.

Sebanyak 11 pain darah terkumpul, di mana daripada seramai 28 orang yang mendaftar, hanya 11 orang layak untuk menderma manakala 17 yang lain tidak layak.

Turut hadir Pengerusi Yu Huang Temple Tuaran, Thomas Chong Yin Fah dan Timbalan Pengerusi mewakili Ling San Temple Tuaran, Lim Kok Keong.