NAZERA (tengah) bersama peserta ARPRM dan MBL yang menjayakan Program Belia Prihatin
LABUAN: Program Belia Prihatin anjuran Ahli Parlimen Belia dan peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang bernaung di bawah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mengumpul sebanyak 81 kotak pakaian terpakai yang akan di agihkan kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan.
Program Belia Prihatin turut mendapat kerjasama Majlis Belia Labuan (MBL) dan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Labuan.
Pengerusi penganjur yang juga Ahli Parlimen Belia Labuan, Nazera Roslan berkata, Program Belia Prihatin bertujuan untuk membantu golongan asnaf dan juga golongan yang memerlukan pakaian yang didermakan oleh orang ramai menerusi program Belia Prihatin.
Katanya, Program Belia Prihatin yang disertai seramai 11 peserta ARPRM diadakan selama seminggu bermula pada 6 Januari lalu yang berpusat di Pejabat Majlis Belia Labuan (MBL) Kompleks Sukan Labuan.

PAKAIAN…. sebahagian dari pakaian yang didermakan oleh orang ramai pada Program Belia Prihatin.
“Majlis penyerahan sumbangan pakaian terpakai kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan akan diadakan sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan” katanya ketika dihubungi semasa proses pengasingan dan pemilihan pakaian terpakai di Pejabat MBL, di sini, kelmarin.
Nazera turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan ikhlas daripada orang ramai dalam membantu menjayakan objektif Program Belia Prihatin.