SIDANG MEDIA……Datuk Saran Jumdail (tengah) bersama kepimpinan tertinggi Perjuangan Rakyat ketika sidang media, baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Parti baharu tempatan, Perjuangan Rakyat, mengesahkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dengan tekad membawa agenda ekonomi, hak Sabah dan keadilan sosial sebagai teras perjuangan.
Presidennya merangkap pengasas parti, Datuk Saran Jumdail, berkata Perjuangan Rakyat ditubuhkan sebagai platform suara rakyat akar umbi yang sekian lama berdepan isu kemiskinan, infrastruktur daif serta peluang pekerjaan yang terhad walaupun Sabah kaya dengan hasil bumi.
“Sabah kaya, tetapi rakyat Sabah miskin. Ada minyak, ada gas, ada tanah subur dan hasil laut, namun masih ada kampung tanpa jalan berturap, air bersih dan elektrik stabil. Ini realiti yang tidak boleh lagi disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa parti itu tidak disokong mana-mana penaja besar, sebaliknya digerakkan oleh ahli korporat kecil, usahawan dan aktivis NGO yang telah lama bergiat membantu masyarakat di lapangan.
Menurut Saran, kesemua calon yang akan diketengahkan pada PRN17 terdiri daripada golongan muda yang aktif bekerja bersama rakyat sebelum musim pilihan raya lagi.
“Mereka bukan calon segera. Mereka memahami perjuangan sebenar, turun padang, ambil peduli dan terus buat kerja. Parti ini bukan untuk elit, tetapi untuk rakyat keseluruhannya,” tegasnya.
Saran turut mendedahkan bahawa parti itu telah menyiapkan Pelan Pembangunan Sabah bagi tempoh 20 tahun, yang antara lain bertujuan melonjakkan ekonomi negeri agar setanding dengan Kuala Lumpur.

Datuk Saran Jumdail
Katanya, hala tuju parti jelas menuntut pelaksanaan penuh hak negeri melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan hasil ekonomi Sabah dikembalikan kepada rakyat.
“Rakyat mahu negeri ini ditadbir oleh parti tempatan yang benar-benar memahami perjuangan
“Jika kita terus memilih pemimpin yang hanya mengejar kuasa, nasib generasi akan datang akan terus terabai,” katanya.
Dalam nada tegas, Saran menggesa pengundi supaya menolak pemimpin yang didakwanya lebih mementingkan kepentingan peribadi dan parti berbanding kebajikan rakyat.
“Jika mereka tidak disingkirkan, sampai bila-bila pun nasib rakyat tidak akan berubah
“Jangan sampai anak cucu kita kelak mempersalahkan kita kerana membuat pilihan yang salah,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat menjadikan PRN17 sebagai titik perubahan dan “membentuk kerajaan baharu yang benar-benar lahir daripada rakyat”.