31 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PPP anjur bengkel pengacaraan majlis, protokol

John (duduk, empat dari kanan) bersama dengan peserta program dan tetamu yang hadir

PENAMPANG, 31 Oktober 2022: Pertubuhan Perpaduan Penampang (PPP) telah menganjurkan satu Bengkel Pengacaraan Majlis dan Protokol bertemakan “Pemerkasaan Kemahiran Muda” di Mini Perpustakaan, Penampang di sini pada Sabtu, disertai oleh 55 belia dan beliawanis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan bengkel tersebut berkata, ia bukan sahaja mampu melahirkan belia dan beliawanis yang celik tentang pengurusan dan pengacaraan majlis rasmi malah penganjurannya juga merupakan medan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama sesama kaum yang telah sedia terjalin.

Ini selain mengeratkan hubungan silaturahim, khususnya komuniti belia di daerah Penampang, tambahnya.

“Aktiviti ini, dalam erti kata lain, telah berupaya menjadi salah satu daripada wahana pembina semangat dalam berkomunikasi dan memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan warga belia dan beliawanis di daerah Penampang secara keseluruhannya.

“Semangat berpasukan juga secara tidak langsung dapat diwujudkan sekaligus memberi pengalaman berguna bagi mereka selain mengukuhkan perpaduan yang ada. Sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana penglibatan peserta daripada latar belakang yang berbeza sehingga bengkel ini ini berjaya dianjurkan.

“Ini menunjukkan pihak PPP kini berada pada landasan yang benar dalam merealisasikan agenda pembangunan nasional yang menjurus kepada penglibatan seluruh lapisan masyarakat dari pelbagai peringkat umur,” katanya. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Moyog, John Chryso Masabal.

Bengkel pengacaraan majlis rasmi itu bertujuan untuk memberikan kemahiran pengacaraan majlis yang merangkumi kemahiran terhadap elemen pengurusan sesebuah majlis rasmi. Kemahiran mengacarakan majlis rasmi bukan hanya sekadar pandai berbicara dan mempunyai suara yang lunak. Selain mempunyai bakat semulajadi, para peserta perlu mempunyai kemahiran dan keyakinan berucap di khalayak ramai.

Pengacara yang baik dan berkesan juga mestilah mempunyai asas protokol dan pengurusan majlis yang mantap. Pengacara majlis yang baik perlulah mampu melaksanakan tugasan dengan berkesan. Hanya pengacara yang mempunyai ilmu dan kemahiran, terlatih serta mendapat pendedahan sahaja mampu mengacarakan majlis dengan sempurna.

Pengetahuan terhadap elemen protokol yang utama seperti pengaturan tempat duduk, panggilan hormat serta susunan keutamaan tetamu majlis sangat penting diketahui. Ini adalah disebabkan pengacara akan berhadapan dengan ramai tetamu penting (VVIP). Kemahiran terhadap elemen pengurusan majlis juga sangat penting. Ini kerana semasa majlis, pengacara menjadi teraju utama (running the show). Kemahiran dan kredibiliti seorang pengacara majlis akan menjadi menjadi tunggak kepada kesempurnaan sesebuah majlis.

Bengkel tersebut memberikan kefahaman kepada peserta tentang cara pengacaraan majlis dengan betul mengikut amalan protokol semasa. Peserta juga didedahkan akan perbezaan tugasan selaku pengerusi majlis dan pengacara majlis di mana kedua-dua istilah ini selalu disalah tafsirkan oleh pelajar.

Hal ini akan dapat mengembangkan pengetahuan sedia ada mereka dan membangun potensi diri seperti kemahiran berkomunikasi secara profesional. Kemahiran ini penting kepada mahasiswa bukan sahaja untuk mengendalikan sesebuah majlis malah menjadikan mereka seorang pekerja yang bijak dalam penyusunan kata-kata dalam berinteraksi dengan orang.

Selain itu, melalui majlis ilmu yang dianjurkan untuk para belia dan beliawanis, ianya mampu mencegah seseorang individu terlibat denagn aktiviti tidak sihat contohnya penglibatan terhadap penyalahgunaan dadah.

“Dewasa ini, jumlah penglibatan belia dalam aktiviti penyalahgunaan dadah adalah amat membimbangkan. Melalui aktiviti-aktiviti seperti ini, belia dapat menjalankan aktiviti yang sihat dan dalam masa yang sama mampu mempelajari sesuatu untuk dipraktikkan di luar sana,”kata Dr. Joachim.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada PPP, Majlis Belia Sabah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha menjalankan program yang bagi saya sangat bermanfaat untuk para belia dan beliawanis pelapis masa hadapan Negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN