Antara jemputan dan pesara yang hadir
RANAU: Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) kawasan Ranau dipuji atas kejayaan menganjurkan Majlis ‘Dua Dalam Satu’ sempena Krismas 2025 dan sambutan Tahun Baharu 2026 yang berlangsung meriah dan penuh bermakna.
Majlis santai yang diadakan di Rumah Rehat Ranau itu dihadiri lebih 100 ahli PPKS Ranau bersama keluarga, dan dirasmikan oleh Jonathan Yasin, Ahli Parlimen Ranau.
Dalam ucapannya, Jonathan memuji penganjur kerana berjaya menghimpunkan ahli-ahli persatuan dalam suasana sederhana namun signifikan, sekali gus memupuk ikatan persaudaraan dan keharmonian tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan fahaman politik dalam kalangan pesara.
“Program seumpama ini wajar diteruskan bagi menyemai kasih sayang serta memperkukuh persaudaraan yang berkekalan dalam kalangan para pesara,” katanya sambil menyatakan kesediaan Pejabat Parlimen Ranau untuk bekerjasama membantu menjayakan program-program positif anjuran PPKS Ranau.
Datuk Jonathan (duduk tengah) ketika menghadiri Majlis Santai PPKS Ranau.

Datuk Jonathan (duduk tengah) ketika menghadiri Majlis Santai PPKS Ranau.
Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan khidmat bakti para pesara kerajaan Sabah amat dihargai dan akan sentiasa dikenang, malah wajar dicontohi oleh generasi muda khususnya dalam menjayakan program pembangunan komuniti di peringkat setempat, negeri dan negara.
Sementara itu, Pengerusi PPKS Ranau, Amin Abd Hamid, mewakili ahli merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian Jonathan hadir serta merasmikan majlis berkenaan.
“Kesudian Datuk hadir dan merasmikan majlis santai ini merupakan satu penghargaan besar serta tanda penghormatan terhadap PPKS Ranau,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, serta Pegawai Pemantau Projek Pejabat Parlimen Ranau, Dominik Kasuman.



