RANAU: Tindakan pantas pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Ranau yang diketuai oleh Inspektor Duncan telah melaksanakan operasi tangkapan pada 15 Mei 2025 sekitar jam 7.20 pagi di daerah Ranau.
Dua orang lelaki tempatan telah berjaya ditahan dalam operasi ini kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan oleh beberapa pengadu kes pecah rumah sekitar Daerah Ranau.
Semakan mendapati, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, samun dan pecah rumah, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Turut dirampas dalam operasi ini adalah pelbagai barang yang dipercayai hasil curi seperti barangan kemas, wang tunai mata wang asing, kenderaan serta beberapa dokumen penting mangsa pecah rumah.
Ujian saringan air kencing oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Ranau juga telah dijalankan. Didapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetaminine dan Amphetamine.
Hasil dari tangkapan ini, pihak Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes yang dilaporkan dengan anggaran kerugian berjumlah RM149,363.
Kejayaan ini adalah hasil kecekapan dan komitmen pasukan BSJD IPD Ranau dalam membanteras kegiatan jenayah serta menjamin keselamatan awam di daerah ini.
Masyarakat dinasihatkan supaya yerus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat kegiatan jenayah di daerah ini kepada pihak PDRM.



