RANAU: Polis Daerah Ranau menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya wujud ancaman keselamatan di daerah itu, sambil menegaskan bahawa keadaan keseluruhan Ranau masih terkawal, aman dan selamat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada Khamis, siasatan menyeluruh telah dijalankan sebaik sahaja pihaknya mengesan penularan satu hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku ancaman keselamatan di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan hasil siasatan awal, tiada sebarang ancaman keselamatan dikesan. Keadaan di Ranau adalah terkawal dan orang ramai boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa,” kata kenyataan itu.
Pihak polis dalam masa sama menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Orang ramai disaran merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tular di media sosial,” jelas kenyataan itu lagi.
IPD Ranau turut memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan awam di daerah tersebut terus terpelihara.
“Polis Ranau menghargai keprihatinan masyarakat dan menyeru agar semua pihak kekal tenang serta terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menjaga keharmonian dan keselamatan bersama,” tambah kenyataan itu.



 
                                    