Anggota polis berinteraksi dengan pelanggan melalui kaunter PKB MCS di Bundu Tuhan
RANAU: Pihak Polis IPD Ranau telah menyertai Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (PKB) Mobile Community Services (MCS) yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan Don Bosco, Bundu Tuhan, Kundasang, Ranau, Sabtu.
Program ini merupakan inisiatif bersepadu pelbagai agensi kerajaan Persekutuan, Negeri dan Badan Berkanun dalam menyampaikan perkhidmatan terus kepada masyarakat luar bandar.
Antara pengisian IPD Ranau dalam program ini termasuklah menyediakan kaunter semakan saman trafik dengan diskaun sehingga 70 peratus, slot ceramah berkaitan jenayah komersil (scammer), edaran risalah pencegahan jenayah, engagement Amanita bersama wanita dan suri rumah, pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) & Talk To Us dan sesi khidmat nasihat keselamatan secara bersemuka bersama masyarakat setempat.
Program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, iaitu mengeratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat, meningkatkan tahap kesedaran keselamatan awam, serta memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan Polis tanpa perlu hadir ke balai.
PDRM mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah menjemput pihak IPD Ranau untuk menyertai program ini.
Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak, sebuah program anjuran pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti di lokasi yang ditetapkan.
Tujuan program, menghubungkan pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri secara langsung dengan orang ramai, menyediakan pelbagai kaunter perkhidmatan di satu lokasi.
Antara perkhidmatan yang disediakan adalah seperti JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), AADK (Agensi Anti-Dadah Kebangsaan), FAMA, Agrobank, Mahkamah Bergerak, dan banyak lagi.



