Dr Aslie.
PENAMPANG: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) hari ini melahirkan rasa kecewa atas ketidakhadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Rancakkan MADANI Sabah yang berlangsung di Dewan Ballroom ITCC Penampang pada Ahad.
Presidennya Dr Aslie Sahat berkata, ramai dalam kalangan ahli PMPS dan pesara hadir dengan harapan untuk bersemuka dan mendengar secara langsung amanat serta penjelasan daripada Perdana Menteri, terutamanya berkaitan isu penyelarasan pencen pesara kerajaan yang menjadi perkara penting bagi pesara perkhidmatan awam, khususnya dalam sektor pendidikan.
Tetapi katanya, Perdana Menteri hanya diwakili oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
“Ramai ahli kami yang telah hadir dari pelbagai daerah dan berharap sekurang-kurangnya dapat mendengar penjelasan daripada Perdana Menteri berkaitan status semasa penyelarasan pencen. Namun, apabila dimaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir, perasaan kecewa itu amat dirasai” katanya dalam kenyataan media.
Walau bagaimanapun katanya, PMPS tetap menghargai usaha semua pihak yang menjayakan program tersebut serta menghormati komitmen tinggi yang dipikul oleh seorang Perdana Menteri.
Pihak PMPS berharap agar akan ada peluang lain dalam masa terdekat bagi Perdana Menteri mengadakan sesi dialog atau kunjungan rasmi khusus bersama warga pesara pendidik di Sabah.
“Kami sentiasa bersedia menyambut beliau dengan tangan terbuka dan penuh hormat, demi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan kumpulan pesara yang pernah menyumbang besar dalam sektor pendidikan negara” katanya.
Tambahnya, ramai kalangan pesara yang datang dari pelusuk negeri sanggup menanggung kos perjalanan dan penginapan ratusan ringgit kerana ingin bersemuka dengan Perdana Menteri tetapi akhirnya mereka kecewa.



