AHLI PMBS melayani pengunjung dengan adat KeBruneian.
KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Cawangan Kampung Benoni terus mempergiat usaha memartabatkan warisan budaya etnik Brunei menerusi penganjuran Program Interpretasi Hidup di Rumah Brunei, Kampung Warisan Fasa 1, Muzium Sabah yang berlangsung setiap hujung minggu bermula 27 Jun hingga akhir tahun ini.
Program yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad, dari pukul 9 pagi hingga 4 petang itu menampilkan pelbagai aktiviti berasaskan seni, budaya dan gastronomi tradisional masyarakat Brunei bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada pengunjung mengenai keunikan warisan etnik berkenaan.
Bagi memperkukuh pelaksanaan program itu, PMBS Cawangan Kampung Benoni baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Muzium Sabah, Aldofus Leste John Millip.
Delegasi berkenaan diketuai Pengerusi PMBS Cawangan Kampung Benoni, Haji Ampuan Abdul Wahab Haji Ampuan Hamzah, bersama enam anggota jawatankuasa cawangan.
Ampuan Abdul Wahab berkata kunjungan itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PMBS Kampung Benoni kepada pihak pengurusan Muzium Sabah selain merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada persatuan itu untuk menjayakan Program Interpretasi Hidup di Rumah Brunei.
“Kami berharap lebih banyak kerjasama strategik dapat diwujudkan bersama Muzium Sabah bagi memelihara, mempromosi dan memartabatkan warisan budaya etnik Brunei serta masyarakat pelbagai kaum di Sabah,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memperkayakan kandungan program, termasuk memperluaskan demonstrasi aktiviti warisan tradisional yang dapat memberi pengalaman interaktif kepada pengunjung.

Sebahagian pelajar tidak ketinggalan merakamkan kenangan di Rumah Etnik Brunei.
Antara pengisian program ialah demonstrasi kraftangan tradisional, pameran herba warisan, penyediaan dan demonstrasi makanan tradisional seperti ambuyat, kelupis, pinyaram serta pelbagai kuih dan hidangan etnik Brunei.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi menganyam tikar, persembahan alat muzik dan lagu tradisional serta mengenali adat resam, budaya dan identiti masyarakat Brunei melalui interaksi secara langsung bersama ahli PMBS.
Menurut Ampuan Abdul Wahab, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara sejak ia diperkenalkan pada penghujung Jun lalu.
Katanya, antara pelawat yang hadir terdiri daripada rakyat tempatan, Semenanjung Malaysia, Sarawak serta pelancong dari China, Australia, Perancis, Scotland, United Kingdom dan beberapa negara Eropah.
“Pengunjung daripada pelbagai bangsa dan agama disambut mesra dengan nilai-nilai keBruneian dan budaya ketimuran yang menjadi identiti masyarakat kami.
“Malah, lawatan turut diterima pada hari-hari lain mengikut permintaan, dengan ahli PMBS Kampung Benoni menyediakan penerangan serta hidangan tradisional bagi memperkenalkan budaya Brunei kepada pengunjung,” katanya.
Program Interpretasi Hidup itu dilihat selaras dengan usaha Muzium Sabah menjadikan institusi berkenaan sebagai gerbang pemeliharaan dan penghayatan warisan budaya negeri, di samping memupuk kefahaman masyarakat terhadap kepelbagaian etnik yang menjadi identiti Sabah.



