Insp Murugan (tengah) menyampaikan hadiah berupa barangan elektrik kepada salah seorang peserta sambil disakiskan Kenny (kiri)
RANAU: Perkongsian maklumat isu semasa melalui Platform Program Sembang Santai mampu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan secara berterusan.
Pegawai Penerangan Ranau, Kenny Thomas berkata langkah tersebut juga adalah bagi mengeratkan jaringan komunikasi antara masyarakat setempat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk saling berhubung serta berkongsi maklumat.
“Konsep Malaysia Madani adalah untuk memastikan rakyat di mana saja mereka berada tidak akan ketinggalan dari segi penerimaan maklumat.
“Justeru, Jabatan Penerangan berperanan untuk menyampaikan maklumat agar difahami oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sembang Santai J@Pen – Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) anjuran Pejabat Penerangan Ranau pagi tadi.

Kenny (duduk depan, kiri) bersama sebahagian peserta yang hadir
Antara pengisian program termasuklah taklimat jenayah ‘scam’ yang disampaikan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau, Insp Murugan A/L Doraiya, dan taklimat Malaysia Madani yang disampaikan oleh Kenny.
Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani turut melancarkan kumpulan Whatsapp Sahabat J@Pen Ranau yang dikelolakan oleh Pejabat Penerangan Ranau.
Jumain berharap agar platform tersebut digunakan sebaik mungkin bagi membantu pihak kerajaan dalam memerangi berita dan maklumat palsu.