PL terima 500 unit khemah jenis Collapsible Tent (C-Tent) sumbangan NADMA

Oleh: Jainudin Djimin

khemah jenis Collapsible Tent (C-Tent) sumbangan NADMA

LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) menerima sebanyak 500 unit khemah jenis Collapsible Tent (C-Tent) sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pada Jumaat.

Menurut satu kenyataan media dari Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan,  bekalan khemah itu dibekalkan  susulan  permohonan yang dipohon oleh Perbadanan Labuan  sebagai persediaan kepada  penduduk Labuan yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  sekiranya berlaku  bencana seperti banjir semasa musim Monsun Timur Laut.

Selain untuk kegunaan mangsa banjir, khemah ini juga boleh digunakan ketika berlakunya bencana lain seperti kebakaran  atau ribut.

Bekalan khemah itu juga adalah susulan daripada tindakan awal Mesyuarat Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) yang diadakan di Labuan pada tahun lalu bersama Pengarah Bahagian Logistik NADMA, Amaluddin Suib, Anggota Pertahanan Awam Malaysia (Sabah dan Labuan), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Perbadanan Labuan.

Pihak NADMA berharap dengan adanya bekalan khemah berkenaan dapat memberi keselesaan kepada mangsa bencana sekaligus dapat mematuhi SOP penjarakan sosial  khususnya  semasa  pandemik COVID 19 yang masih lagi menjadi ancaman kepada negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbandan Labuan, Dr Fary Akmal Osman merakamkan penghargaan terima kasih kepada NADMA atas sumbangan  khemah yang pertama kali di terima oleh Perbadanan Labuan.

Beliau berkata, Perbadanan Labuan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga Labuan terjaga.