ADVERTISEMENTspot_img

PKR Cabang Beaufort nafi 28 ahlinya sertai Warisan

NAFIKAN… Dikin (duduk tengah) dan Malek Yusof berdiri (kanan) bersama AMK Cabang Klias semasa sidang media.

BEAUFORT: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Beaufort , Encik Dikin Musah menafikan seramai 28 orang pemimpin parti itu telah menyertai Parti Warisan baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau hanya tiga orang saja yang dibawa masuk ke Parti Warisan oleh Encik Abdullah Okin.

“Ketiga-tiga mereka adalah Ahli Jawatankuasa Cabang yang dilantik dan beberapa orang yang turut hadir adalah AMK dan Wanita serta ahli PKR yang bukan AJK Cabang”,katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa 28 pemimpin PKR Cabang DUN Klias telah menyertai Parti Warisan yang disiarkan oleh akhbar tempatan.

Bercakap dalam sidang media Dikin, berkata tujuan mereka dibawa bertemu Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ialah untuk mendengar sendiri kenyataan Presiden Warisan kononnya Abdullah Okin bakal dipilih sebagai calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi.

Dikin memberitahu lagi disebalik perjumpaan itu Presiden Warisan hanya menyatakan mana-mana calon parti itu belum dimuktamadkan lagi.

“Semua senarai nama yang disebutkan yang dibacakan oleh Presiden Warisan adalah nama-nama yang disediakan oleh Abdullah sendiri dan mereka yang dinamakan tersebut menafikan yang mereka telah keluar PKR, ” katanya.

Wanita yang turut bersama dalam perjumpaan itu ialah Naib Ketua Wanita yang dilantik iaitu isteri kepada Abdullah Okin bersama tiga orang Wanita yang menang pemilihan yang menyertainya.

Disamping itu juga Timbalan Ketua AMK juga anak kepada beliau yang menang pada pemilihan turut bersama.

Sementara itu AJK PKR Cabang Beaufort, Malek Yusof turut menafikan telah keluar dari PKR.

Katanya nama beliau telah dikaitkan menyertai Warisan yang diserahkan kepada Presiden Warisan sedangkan beliau masih ahli PKR dan tidak pernah keluar atau meletakkan jawatan dari PKR.

Abdullah merupakan bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Beaufort dan pernah menyertai Parti Cinta Sabah(PCS) dan menjadi calonnya pada Pilihan Raya Negeri 2020 dan keluar dari PCS lalu menyertai PKR dan menjadi calon Ketua Cabang dalam pemilihan PKR pada 2025 namun kalah ditangan Dikin Musah.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai bendahari Cabang dan penyelaras Dun Klias.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN